Berita

Pemimpin, perwakilan Islam tiba untuk majlis pelancaran Sidang Kemuncak KL

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Para pemimpin dan perwakilan Islam berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pagi ini untuk majlis pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019.

Pemimpin yang tiba di venue persidangan empat hari itu yang terletak bersebelahan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas, menara berkembar tertinggi di dunia, termasuk Emir Qatar Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Sidang kemuncak itu yang bertujuan menangani isu umat Islam dan mencari penyelesaian berkesan, bermula semalam dengan jamuan makan malam dihoskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel terkemuka di sini, berhampiran KLCC.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyampaikan titah diraja, manakala Dr Mahathir yang juga Pengerusi sidang kemuncak berkenaan akan menyampaikan ucapan aluan pada majlis pembukaan itu.

Kira-kira 450 perwakilan termasuk pemimpin, pemikir, intelektual, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dari 56 negara menghadiri sidang kemuncak bertemakan ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’.

Perbincangan akan menumpukan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; keadilan dan kebebasan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan; serta teknologi dan tadbir urus internet.

— BERNAMA

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button