Agama

Pemimpin perlu adil

Tanggungjawab seorang pemimpin hendaklah berlaku adil ketika melaksanakan amanah kepimpinan manakala ke atas setiap rakyat adalah untuk mentaati pemimpin yang adil.

Demikian intipati Khutbah Jumaat disampaikan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di Masjid Wakaf Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar semalam.

Menurut beliau, demikianlah agama telah berjalan dengan hubung kait yang rapat antara pemimpin yang memimpin dengan keadilan dan ke arah yang diredhai Allah.

Berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Wakaf berkenaan adalah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Khutbah bertajuk Mentaati Pemerintah menurut Islam berkenaan diselaraskan di seluruh Negeri Perlis pada bersempena Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Ke-78 DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang disambut hari ini 17 Julai 2021.

Baginda telah memperkenankan bermula tahun 2018, dan untuk tempoh sehingga tahun ini iaitu 2021, agar sambutan dan hari kelepasan am mengambil sempena ulangtahun rasmi keputeraaan baginda di negeri ini diubah kepada 17hb Julai. Ini adalah kerana tarikh sebenarnya iaitu 17hb Mei untuk empat tahun tersebut jatuh pada bulan Ramadan ketika Muslimin melipatgandakan ibadat dan kemudiannya pada bulan Syawal pula selalunya untuk memberi laluan ketika umat Islam memperhebatkan silatulrahim bersama kaum keluarga dan sahabat handai sepanjang Aidilfitri.

Namun begitu, akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan juga dunia sejak tahun lalu, maka baginda telah menitahkan agar segala program keramaian yang diaturkan bersempena ‘Sambutan Ulang Tahun Rasmi Hari Keputeraan Baginda ke-78’ ini sepertimana juga pada tahun lalu adalah sekali lagi dibatalkan.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menayangkan sebanyak 7 program “Ijlal al-Malik” secara langsung melalui platform ‘Facebook’ rasmi MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta turut dipancarkan melalui Laman ‘Suara Sunnah Channel’ bermatlamatkan untuk mengangkat peranan DYMM Tuanku Raja selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama bagi Negeri ini.

Tayangan yang juga merupakan tribut kehadapan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bakal memaparkan beberapa bual bicara dan syarahan akademik dan agama serta tayangan video berkaitan hubungan Raja-Raja Jamalullail dalam memartabatkan institusi Agama Islam di negeri Perlis.

(Visited 1,596 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button