Nasional

Covid-19: Satu korban, 88 kes baharu, 64.4 peratus pulih

BILANGAN  kes baharu COVID-19 yang dilapor secara harian di Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kekal mencatat kadar dua angka dengan 88 kes direkod hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes harian dua angka itu yang memasuki hari kelapan berturut-turut juga melibatkan 13 kes import, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,691 kes.

Sepanjang tempoh seminggu lepas, bilangan kes positif COVID-19 secara harian menunjukkan trend pada kadar dua angka dengan 71 kes dilapor semalam, 50 kes (22 April), 57 kes (21 April), 36 kes (20 April), 84 kes (19 April), 54 kes (18 April) dan 69 kes (17 April).

Dalam pada itu, beliau berkata 121 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu adalah 3,663 kes atau 64.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,932 kes. Mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 41 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan terdapat satu lagi kes kematian dilapor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian berkaitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 96 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan positif penyakit itu.

“Kes kematian ke-96 (kes ke-2,978) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1,345) yang mempunyai sejarah pulang dari Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 31 Mac lepas dan disahkan meninggal dunia pada 24 April, pukul 2.29 pagi,” katanya.

Mengulas kes baharu di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Dr Noor Hisham berkata terdapat dua lokaliti mencatat pertambahan kes positif baharu iaitu di Selangor Mansion, Kuala Lumpur dengan 39 kes, dan di Kampung Sungai Lui, Selangor dengan 15 kes.

Pertambahan kes positif itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di kedua-dua lokaliti berkenaan meningkat kepada 146 di Selangor Mansion, dan 156 kes di Kampung Sungai Lui.

Katanya terdapat enam kluster yang aktif di Malaysia setakat ini merekodkan kes baharu melibatkan kluster Madrasah Sungai Lui, Selangor (15 kes); kluster Pesantren (lapan kes); dan masing-masing satu kes bagi kluster Sendayan di Negeri Sembilan; PUI Bali; Madrasah Ayer Merbau di Melaka; dan Petugas Kesihatan Sabah. – BERNAMA

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button