Politik

Sudah terlambat Lim Kit Siang, rakyat tidak teruja dengan DAP

KOMENTAR

SEMALAM, `berkokok’ lah lagi Lim Kit Siang mendesak supaya dipanggil satu sidang khas Parlimen membincangkan isu COVID-19.

`Agak pelik sikit’ kerana kata Penasihat DAP itu ia berikutan Malaysia berjaya mengekang pandemik ini lebih baik berbanding United Kingdom (UK).

Kemudian boleh pula Ahli Parlimen Iskandar Puteri ini menempelak “mengapa Muhyiddin sangat takut untuk memanggil sidang khas Parlimen Covid-19?”.

Kita rakyat Malaysia pasti `penat’ mendengar desakan yang sama dari Kit Siang ini. Dah berapa kali dahhhh?

Sebulan lepas dia gesa sidang khas parlimen dipanggil bagi merangka strategi untuk menangani penularan COVID-19 yang terus meningkat ketika itu.

Tiga minggu sudah pun nada serupa juga dengan Kit Siang mahu Parlimen mempertimbang mengadakan persidangan khas Parlimen “secara maya kerana Malaysia perlu menggunakan strategi “melakukan apa sahaja” untuk memenangi peperangan melawan COVID-19. Ini termasuk mengharungi era ekonomi pasca pandemik ini.

Kita hairan sungguhlah dengan tindak tanduk Kit Siang ini. Takkanlah beliau tidak tonton televisyen atau mengikuti siri perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai usaha keras kerajaan membendung wabak ini?

Takkanlah Kit Siang tidak teruja bersama rakyat mendengar dan menikmati pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri – yang lebih pantas bertindak berbanding dua jiran tetangga kita, Indonesia dan Singapura?

Takkanlah Kit Siang tidak lihat atau analisis kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia yang diketuai menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Datuk Dr Noor Hisham Abdullah serta ribuan frontliners yang bertungkus-lumus siang malam untuk memastikan jumlah pesakit baharu berkurangan, selain sifar kematian?

Takkanlah Kit Siang tidak mengikuti pengiktirafan daripada rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) yang menyenaraikan Dr Noor Hisham sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang ‘lahir’ daripada kalangan pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak COVID-19? Ia bersekali dengan pengiktirafan yang diraih Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Menerusi laman webnya CGTN menobatkan Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.

Jadi, Kit Siang buat apa anda terlalu mendesak kerajaan supaya memanggil sidang khas COVID-19 ini?

Memanggil sidang khas kalau kerajaan alpa bertindak ataupun terlalu banyak kecacatan atau kekurangan di sana sini dalam cara membendung penularan pandemik ini, tak mengapalah.

Ini tidak. Maka, apa motif Kit Siang? Tak cukupkah atau tak sabar-sabar lagi kah mahu menunggu 18 Mei nanti – sidang Dewan Rakyat satu hari itu?

Kalau ada jalan penyelesaian atau kaedah terbaik daripada DAP untuk membendung wabak ini, mesej atau `PM tepi’ sahaja Perdana Menteri atau KKM.

Atau DAP buat satu telesidang khas dengan Kit Siang berkomunikasi dengan orang kementerian membangkitkan hujah-hujah DAP untuk membantu mengurangkan lagi angka jangkitan atau kematian rakyat Malaysia akibat pandemik ini.

Realitinya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak teruja lagi dengan apa yang dicakapkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Orang Melayu terutamanya sudah memberi peluang kepada DAP semasa mereka `mengetuai’ dalam kerajaan Pakatan Harapan tempoh hari untuk membuktikan kewibawaan. Malangnya belum sampai dua tahun, mereka memilih untuk membentuk pakatan politik baharu.

Mengapa proses peralihan teraju negara dengan Muhyiddin mengangkat sumpah 1 Mac lalu berjalan lancar? Sepanjang bulan lalu tidak ada kekacauan, rusuhan atau demonstrasi jalanan termasuklah apabila barisan Kabinet baharu angkat sumpah pada 10 Mac?

Seluruh dunia pun terkejut dengan `pertukaran baton’ ini walaupun berkali-kali Kit Siang, pemimpin DAP yang lain, sebilangan pemimpin PKR dan rata-rata pemimpin Amanah melabelkan ia sebagai `kerajaan pintu belakang’.

Tapi mengapa rakyat Malaysia kelihatan akur dan menerima kerajaan baharu ini tanpa bising-bising?

Dan sehingga ada pihak menganggap DAP `kurang cerdik’ pula kerana seharusnya parti itu belajar dari Lee Kuan Yew yang sabar dan digambarkan `bersikap adil’ terhadap orang Melayu di Singapura sekitar tahun 1960-an.

Dikatakan orang-orang Malaysia di Singapura waktu itu memberi sokongan kepada PAP secara berterusan. Ia walaupun di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh Melayu seperti Geylang, sekali gus mengakibatkan UMNO lenyap ketika itu.

Adakah DAP tidak betul-betul pintar?

Kit Siang tidak perlulah lagi mendesak disegerakan sidang khas Parlimen mengenai COVID-19 kerana DAP bukan lagi berada dalam kerajaan. Tunggu sahaja 18 Mei nanti.

Rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana sedang perit memerangi pandemik ini. Mereka mahu keluar semula bekerja macam biasa. Mereka mahu segera berada bersama orang tua mereka menikmati juadah sahur dan berbuka puasa bersama serta pulang berhari raya.

Mereka tidak teruja dengan cadangan Kit Siang, apa lagi DAP. – SM

(Visited 452 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button