Nasionalpilihan

Kelantangan Akmal Salleh wakili suara orang Melayu, Islam – Ab. Rauf

Kelantangan suara Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah mempunyai asas kerana ia mewakili suara orang Melayu dan Islam keseluruhannya.

Menegaskan perkara tersebut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, apa yang disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu jelas tiada kaitan langsung dengan soal politik.

Katanya, soal politik tidak akan mengubah pendirian kita tentang agama kerana kita boleh bersama dalam politik dan boleh membina sebuah negara yang baik.

Jelasnya, namun soal agama amat sensitif harus diberi perhatian oleh semua pihak agar perkara yang mengguris hati orang Melayu tidak akan berlaku lagi.

Menurutnya, tindakan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang tular baru-baru ini adalah perkara yang sangat sensitif dan mengguris hati umat Islam.

“Sebenarnya isu mengenai kalimah Allah yang diletakan di stoking telah mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam.

“Kita seharusnya menghormati hak agama masing-masing tanpa menyentuh sampai ke peringkat melakarkan di sebuah stoking yang dipakai dikaki.

“Semua orang tahu kalimah Allah atau Allah itu sendiri diletakkan pada kedudukan paling tinggi buat umat Islam.

“Jadi kelantangan beliau (Muhamad Akmal) mewakili orang Melayu yang juga suara hati orang-orang Islam yang terguris dalam ketidaktertipan syarikat yang mencetak dan menjual,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bagi Daerah Melaka Tengah 2024, di Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku di negara ini kerana kita telah bersepakat dalam kontrak sosial menghormati hak agama masing-masing.

Tegasnya, kesedaran tersebut harus dipertingkatkan agar perkara yang sama tidak akan berulang lagi selepas ini.

“Sensitiviti orang Islam apabila seolah-olah kalimah Allah ini tidak diletakan di tempat yang betul maka kita rasa tersinggung dan terguris hati umat Islam bukan sahaja di Melaka tetapi seluruh negara,” ujarnya.

Terdahulu, stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, tular selepas gambar produk berkenaan dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu. – SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button