Nasional

Perkhidmatan rangkaian gentian optik tingkatkan taraf hidup rakyat Johor

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina lebih banyak pencawang telefon selular sebagai usaha membantu masyarakat di negeri Johor khususnya di Kota Tinggi bagi meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan secara dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa berkata, menerusi agensi tersebut, 13 struktur pemancar baharu telah siap dilaksanakan manakala 12 daripadanya lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Saya juga telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan perkhidmatan khususnya di kawasan berpenduduk.

“Selain mengambil tindakan membina struktur pemancar baharu, naik taraf stesen pemancar sedia ada, penyambungan rangkaian gentian optik dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk kerja naik taraf stesen pemancar pula, 70 telahpun siap dan sebanyak tiga stesen lagi proses naik taraf sedang giat dilakukan.

Anuar berkata, bagi kerja-kerja penyambungan gentian optik sebanyak 3,934 premis sedang dilengkapi dengan kemudahan berkenaan sementara 669 premis lagi telah dilengkapi dengan gentian optik.

Tambah beliau, kemudahan enam PEDi sedia ada di Kota Tinggi juga turut memberi nilai tambah dan kemudahan kepada para penduduk setempat dalam melaksanakan urusan seharian mereka.

Setakat suku keempat 2021 yang lalu, liputan 4G di Johor berada pada paras 98.68% dan angka berkenaan disasarkan akan meningkat kepada 99.14% menjelang akhir tahun 2022, ujar beliau.

“Manakala, bagi kelajuan jalur lebar pula, setakat suku keempat 2021, ia adalah selaju 28.15Mbps dan disasarkan akan meningkat kepada 35Mbps” katanya.

Pihak kementerian kata Anuar, terus beriltizam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia di Johor melalui pelbagai inisiatif yang direncanakan.

“Bukan sahaja di Kota Tinggi malah termasuk juga kawasan-kawasan FELDA akan terus diberi perhatian. Penduduk di Kota Tinggi akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini demi meningkatkan taraf kehidupan seperti berniaga secara dalam talian sekaligus mempelbagaikan sumber pendapatan,” katanya. – SM

 

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button