Nasional

Manuskrip Salasilah Perlis bukti keupayaan Perlis berkerajaan pada 1843

Manuskrip Salasilah Perlis tersimpan rapi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1963 lagi. Salasilah Perlis yang dikarang oleh keturunan Datuk Arau ini mencatatkan asal usul dan sejarah pemerintahan wangsa Jamalullail di Perlis. Pengasasan Kerajaan Jamalullail di Perlis telah mengeluarkan negeri ini daripada kemelut persaingan kuasa, merencatkan cita-cita politik Raja Ligor dan menghadkan hegemoni wangsa Chakri.

Salasilah Perlis ialah bukti keupayaan negeri ini untuk berkerajaan sendiri pada tahun 1843 bukanlah satu kebetulan. Sebaliknya, kewujudannya sebagai negeri Melayu beraja ialah hasil wawasan, usaha dan perjuangan berterusan anak watan Melayu-Islam bagi menegakkan kedaulatan dan membawa kemakmuran tanpa mengenal erti putus asa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Wacana Jamalullail: Salasilah Perlis Dan Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunah Waljamaah Dalam Perlembagaan Negeri Perlis’ yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada petang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Turut hadir ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamad.

Wacana tersebut dianjurkan oleh pihak DBP dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Persatuan Perlis Kuala Lumpur.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, Islam datang bersama ‘cahaya’ dan membina bangsa yang berakhlak. Islam merupakan agama kesucian jiwa, keindahan perilaku, kecerdasan, keramahan dan kelapangan.

‘Kedudukan seseorang raja dalam Islam adalah tinggi dan utama. Hal ini kerana, peranan raja bukanlah semata-mata bagi menjaga hal urusan pentadbiran negerinya malah bertanggungjawab menentukan hala tuju kedudukan agama Islam yang sudah semestinya perlu dipelihara kesuciannya serta memantau hal ehwal berkaitan dengannya. Secara umumnya, raja merupakan pemimpin tertinggi dengan berbagai gelaran seperti imam, khalifah serta Amirul Mukminin’ tambah Tuanku Raja Muda Perlis.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Awang memaklumkan bahawa program ini merupakan pentas ilmu yang mengetengahkan sejarah pembentukan negeri Perlis di bawah wangsa Jamalullail serta hubungan di antara Institusi Raja Pemerintah dengan Perlembagaan Negeri dan agama anutan, yakni agama Islam yang berpegang kepada ‘manhaj Ahli Sunah Waljamaah’.

Pengarang iaitu Pengarah JAIPs Dr Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor telah berjaya mengupas dan membentangkan mengenai kedua-dua buah buku yang diterbitkan oleh DBP dan kini sudahpun berada di dalam pasaran kepada para hadirin dengan menarik sekali di majlis tersebut.

(Visited 415 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button