fbpx
Berita

Sektor pelancongan Malaysia pasca Covid-19

Oleh Herniza Roxanne Marcus

BERIKUTAN keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi negara berjalan semula mulai 4 Mei 2020, apakah kerajaan akan turut sama membenarkan sektor pelancongan beroperasi semula dalam masa terdekat ini?

Umum maklum pelancongan merupakan salah satu daripada sektor paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Untuk rekod, sektor pelancongan merupakan sektor perkhidmatan yang ketiga terbesar yang menyumbang kepada pendapatan Malaysia selepas sektor pembuatan dan komoditi.

Malah, sebelum wabak Covid19 menyerang, kerajaan telah mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan mensasarkan sebanyak 30 juta kedatangan pelancongan tarabangsa.

Namun sekarang, sektor pelancongan seluruh dunia menjadi lumpuh. Tiada lagi pelancong mengerumuni tempat-tempat pelancongan dan bas-bas pelancong tersadai tanpa penumpang.


Hotel-hotel sunyi ibarat bertahun telah ditinggalkan. Beberapa hotel telah ditutup dan ada yang baru tahun ini beroperasi pun telah ditutup. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif kepada majikan syarikat pelancongan, tetapi tidak banyak yang mampu bertahan.

Kita tahu, melalui industri pelancongan, terdapat rantaian kebergantungan ekonomi yang panjang seperti industri pembekalan makanan dan minuman, pengangkutan, sekuriti, penerbangan, minyak dan sebagainya.

Apabila salah satu tidak beroperasi, semua rantaian ini akan terkesan. Pengangguran akan meningkat. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula telah mensasarkan peningkatan kadar pengangguran di Malaysia tahun ini kepada 4.9%, berbanding 3.3% pada tahun lepas.

Walaubagaimanapun, kadar pengangguran ini dijangka akan kembali turun kepada 3.4% pada tahun 2021. Namun ini hanyalah andaian, kerana tiada siapa yang tahu pengakhiran cerita pandemik Covid-19 ini.

Hakikatnya, hanya apabila vaksin untuk virus ini telah berjaya dihasilkan dan benar-benar berkesan, barulah kita semua akan boleh melihat halatuju sektor pelancongan. Ini semua mengambil masa.

Keyakinan rakyat dan pelancong mungkin hanya akan pulih selepas selepas dua tahun. Walaupun potensi sektor ini adalah besar, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa. Sebelum ia dibuka, kerajaan perlu menyediakan pelan pembangunan semula sektor ini dari sekarang.

Sementelah belum ada sinar untuk pelancongan kembali menyerlah dalam masa terdekat, kita tidak boleh membiarkan sektor ini lumpuh begitu sahaja.

Justeru, melalui pelan rangsangan pasca Covid-19 nanti, kerajaan boleh mulakan dengan merangsang pelancongan domestik terlebih dahuu sebelum melihat kepada pelancong asing.

Setelah keadaan semakin stabil, barulah kerajaan membuka ruang bagi pelancong asing untuk datang. Dalam hal ini, kerajaan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menentukan Prosedur Standard untuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Perlu diingat, kegawatan kali ini bukan seperti kegawatan biasa. Kalau pada masa Krisis Kewangan Asia tahun 1997-1998, Malaysia masih menerima pelancong yang ramai, antaranya kerana kita sedang menganjurkan Sukan Komanwel yang ke 16 pada masa itu.

Sewaktu kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008-2009 pula, Malaysia hanya sedikit terjejas dan sektor pelancongan masih gah. Namun kali ini, kita tewas hanya kerana satu wabak.

Maka itu, ahli ekonomi perlu menjadikan wabak sebagai pertambahan faktor dalam model permintaan pelancong pasca Covid-19.

Apapun, pembukaan semula ekonomi dunia memerlukan perancangan yang jitu. Kekuatan dari segi sektor kesihatandan bantuan kerajaan dari segi polisi fiskal dan kewangan mesti seiring.

Sektor pelancongan perlu diberi perhatian lebih mendalam bukan kerana kita terlalu inginkan pelancong asing ini datang, tetapi kerana kita perlu memikirkan rakyat yang telah terjejas dan kehilangan sumber pendapatan dari sektor ini.

Semoga industri pelancongan kita akan kembali bersinar dan lebih maju dari sebelum ini.

PENULIS Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi) UiTM Sabah

 

Show More

Related Articles

Back to top button