fbpx
Negeri

Pembukaan semula sekolah satu lagi cabaran besar KKM – Dr. Adham

PEMBUKAAN semula sekolah secara berperingkat-peringkat bermula Rabu depan merupakan satu lagi ujian besar yang perlu dihadapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peranan semua pihak amat diperlukan bagi mengelakkan wujudnya kluster sekolah.

Beliau berkata, KKM tidak mahu ada kluster sekolah. Oleh itu, kepatuhan kepada apa yang digariskan dalam kebiasaan baharu ini amat perlu dipatuhi.

Beliau menambah, pihak yang berkenaan juga harus melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan mereka yang berkenaan terjamin.

Mengenai pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal semalam, beliau berkata, kunjungan itu bertujuan memaklumkan Mohd. Shafie selaku ketua kerajaan Sabah mengenai situasi terkini Covid-19 di negara ini, khususnya di Sabah.


“Ketua Menteri Sabah sangat memahami bagaimana penularan wabak ini perlu dielakkan, segala perkara yang patut dilakukan telah dilaksanakan di peringkat negeri … ini bermakna Ketua Menteri sangat proaktif.

“Untuk masalah keselamatan negara, kita perlu ketepikan segala perbalahan dan apa juga motif-motif lain … sebab itu kita kena bina hubungan baik dan dengan hubungan baik ini kita berjaya melawan wabak ini,” katanya. – BERNAMA SM

Show More

Related Articles

Back to top button