Nasional

Pembinaan ibu pejabat baharu FAM bermula tahun ini

PROJEK pembinaan ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu akan bermula pada tahun ini dan itu merupakan ibu pejabat ketiga FAM selepas Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya beroperasi sejak lewat 1980.

Tapak seluas 6 ekar ini akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana bakal menyediakan pelbagai fasiliti.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pembinaan ibu pejabat FAM menepati aspirasi Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014 dan demi tuntutan bola sepak moden yang berprestasi tinggi.

“Syabas diucapkan kepada Presiden FAM, Yang Berbahagia Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin dan barisan exco FAM atas inisiatif ini, menerusi usaha sama dengan pemaju.

“Ini adalah satu penghormatan paling besar yang boleh kita berikan sebagai usaha menghidupkan legasi Almarhum. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum atas segala jasa dan sumbangan Baginda dalam sukan, khususnya bola sepak,” katanya ketika majlis pecah tanah ibu pejabat FAM.

Ismail Sabri turut berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia, amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang,” katanya. -SM

(Visited 391 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button