Mahkamah

Khianat: Dua warga asing dipenjara setahun, seorang mohon bicara

SEORANG lelaki dan seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mereka mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan harta benda persendirian menggunakan batu minggu lepas.

Zahar Hatta, 21, dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan, dan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 14 Jun lalu.

Amir Shah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang juga warga Indonesia dirujuk ke Jabatan Imigresen Tawau selepas tamat hukuman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merosakkan tiga keping cermin rumah dan cermin sebuah kenderaan milik Nur Ain Jais dengan membaling batu pada 13 Jun lepas, pada pukul 1.30 pagi di Kampung Sungai Imam, dekat sini.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM400.

Zahar dan remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka yang menghadapi pertuduhan yang sama, Mohd Azrey Rhyme, 22,  mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Peguam Mohd Azrey, Dayang Aidaku Amira Aminuddin kemudian memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM1,000 memandangkan anak guamnya baharu hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja, selain perlu menyara ibu serta empat adiknya.

Bagaimanapun Amirshah membenarkan Mohd Azrey diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin tempatan dan kesnya akan disebut semula pada 23 Julai depan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee. – BERNAMA

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button