Nasional

SPRM buat pertuduhan pertama di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pegawai kanan syarikat kerana menyebabkan pemberi maklumat berkaitan salah lakunya dipecat.

SPRM dalam kenyataannya berkata, tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 pagi esok.

“Tertuduh akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dibuat oleh tertuduh.

“Pertuduhan di bawah seksyen tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu.

Katanya lagi, peruntukan undang-undang tersebut menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain disamping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan.

“SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

“SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa,” jelasnya. -SM

(Visited 384 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button