Nasional

Koperal polis cedera dilanggar dan diseret hampir 20 meter

SEORANG anggota polis berpangkat koperal cedera parah, selepas kena langgar dan diseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika mengejar seorang lelaki yang  melarikan diri.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi di Penaga dekat Kepala Batas Pulau Pinang awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, beberapa anggota polis yang dalam pemantauan Task Force Op Covid-19 terserempak seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menggunakan nombor pendaftaran yang diubah suai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata selepas memperkenalkan diri, anggotanya mengarahkan lelaki berkenaan memberhentikan motosikalnya di tepi jalan bagi pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, lelaki itu terus memecut laju dengan menunggang motosikalnya secara berbahaya, menyebabkan anggota polis terpaksa mengejarnya.

“Apabila tiba di satu simpang, suspek telah melanggar motosikal anggota polis berusia 30 tahun yang berada di sebelah kanan menyebabkan anggota itu terseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, suspek meloloskan diri dari lokasi tetapi tidak lama kemudian dia berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan terhadap suspek lingkungan 20-an itu tidak menemui barang salah dan dia dipercayai melarikan diri dari polis kerana tiada lesen memandu.

“Saringan kencing ke atas suspek mendapati dia juga negatif dadah. Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

“Anggota berkenaan cedera parah dengan patah bahu kanan dan luka pada badan, manakala suspek turut mengalami calar pada badan,” katanya.

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button