Politik

UMNO tidak akan ambil tindakan sembrono – Khaled Nordin

UMNO tidak akan bertindak sembrono untuk mengambil tindakan disiplin sama ada menggantung keahlian atau memecat ahlinya yang terbabit kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu akan lebih telus melalui proses yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Disiplin parti dan dapat memberi keadilan kepada
semua pihak.

Menurutnya, beliau turut menyokong saranan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya yang mahu melakukan ‘pembersihan’ dalam parti daripada ahli yang mengkhianati parti.

“Saya rasa ini adalah tindakan yang wajar kerana dalam keadaan hakikat UMNO bukan lagi kuat dan kukuh seperti dahulu.

“Apa yang paling utama kita mesti ada kesepakatan dan kerjasama di dalamnya.

“Di samping itu, saya juga percaya sebarang tindakan disiplin yang akan diambil perlu melalui proses tertentu dan bukannya dilakukan dengan cara sembrono agar keadilan dapat diberikan kepada semua,” ujar Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengulas ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ucapan dasar Ahmad Zahid sudah memberi bayangan bahawa UMNO akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didakwa cuba mengkhianati parti selepas PRU15 November tahun lalu.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, secara keseluruhanya ucapan dasar Presiden adalah tepat dan boleh dijadikan sebagai panduan untuk pemimpin dan ahli parti termasuk wakil parti dalam kerajaan perpaduan.- SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button