Travel

Pembangunan pelancongan cipta peluang pekerjaan – Raja Muda Perlis

Pembangunan pelancongan mampan akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda dan dalam pada masa yang sama menghasilkan ‘kesan pengganda’ atau ‘multiplier effects’ yang mampu dijana kepada masyarakat secara keseluruhannya di negeri Perlis.

Perlis sesungguhnya juga berpotensi untuk mengetengahkan agro-pelancongan yang melibatkan golongan seperti petani, penternak dan juga nelayan melalui pemerkasaan dalam aktiviti-aktiviti berteraskan ekonomi dan keusahawanan yang secara langsung dapat mempelbagaikan lagi sumber-sumber pendapatan seharian mereka.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis melalui titah perutusan sempena ‘Hari Pelancongan Sedunia’ yang diraikan pada 27 September setiap tahun baru-baru ini.

Hari Pelancongan Sedunia disambut untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan serta nilai sosial, budaya, politik dan ekonominya. Pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19, sebanyak 1.5 bilion kemasukan pelancong telah direkodkan di seluruh dunia.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, terdapat banyak lokasi pelancongan baru yang menarik untuk dikunjungi di negeri ini yang dapat menarik minat ramai untuk berkunjung apabila rentas sempadan negeri dibenarkan kembali tidak lama lagi dan oleh itu semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan harus mula membuat persiapan rapi bermula dari sekarang lagi.


Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyarankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemain industri tempatan untuk secara bersama-sama melipatgandakan promosi melalui pelbagai medium terutama sekali media sosial dan pada masa yang sama memastikan setiap produk yang hendak ditonjolkan tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat, berkualiti, menarik, bersih, diselenggara dengan baik secara berkala serta memiliki warga kerja yang terlatih supaya efisyen dan mesra tetamu.

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button