Jenayah

Saya Tidak Akan Berundur, Hanya Agong Boleh Tamatkan Perkhidmatan Saya – Azam Baki

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki menegaskan hari ini beliau tidak akan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk beliau melepaskan jawatan susulan kontroversi yang melanda dirinya.

Sebaliknya, kata beliau, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut laporan Sinar Harian, Azam meminta semua pihak untuk bersabar kerana menurutnya, kebenaran akan terserlah akhirnya.

“Saya tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya, iaitu Yang di-Pertuan Agong.

“Selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Azam menjelaskan, beliau telah ‘menyerahkan diri’ kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk siasatan dan beliau percaya satu hari nanti semua orang akan tahu kebenarannya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat bersabar terlebih dahulu bagi mengetahui kebenaran satu hari nanti.

“Satu hari nanti pada waktu ketika yang sesuai, semua orang akan tahu juga kebenarannya,” katanya.
Sementara itu, Azam turut menegaskan beliau telah mengikuti segala protokol ditetapkan dan melakukan apa yang sepatutnya.

Katanya, beliau tidak pernah sama sekali merayu kepada mana-mana pihak atau parti politik untuk memihak kepadanya berhubung dakwaan pemilikan saham yang dihadapinya ketika ini.

Sebaliknya, tegasnya, beliau sendiri akan menunjukkan kebenaran apabila tiba masa dan ketika yang sesuai.
Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya, beliau tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

“Perkara pertama yang perlu saya beri keutamaan adalah memberi maklum balas kepada ahli lembaga penasihat SPRM.

“Mereka adalah orang yang perlu saya hormati dan perlu mengetahui perkara ini terlebih dahulu,” katanya.
Nama Azam sejak seminggu lalu diheret kontroversi berikutan dakwaan beliau memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Bagaimanapun, pada satu sidang media khas, Azam menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya untuk memperoleh saham itu.

(Visited 600 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button