Politik

Pembangkang sokong isytihar harta menteri, timbalan menteri

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan harta yang bermatlamat untuk menyekat salah guna kuasa tiada kena mengena dengan pembangkang yang tidak mempunyai kuasa kelulusan untuk sebarang kontrak dan projek.

Justeru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pembangkang menyokong jika menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta mereka kerana merekalah yang mempunyai kuasa dan boleh menyalahgunakan kuasa.

“Sewaktu BN memerintah, semua menteri dan timbalan menteri diwajibkan mengisytiharkan harta mereka. Namun tidak untuk ahli parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Suara Merdeka hari ini.

Berikut. kata Ismail Sabri, alasan kukuh mengapa ahli parlimen pembangkang tidak akan mengisytiharkan harta:

i) Tidak ada undang-undang bertulis termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewajibkan ahli parlimen isytihar harta. Pembangkang setuju isytihar harta kepada SPRM jika ada undang-undang bertulis mengenainya.

ii) Usul parlimen untuk isytihar harta melangkau kuasa parlimen kerana parlimen tiada kuasa untuk mengenakan arahan kepada ahli parlimen perkara yang di luar ruang lingkup perjalanan mesyuarat parlimen lebih-lebih lagi melibatkan isteri dan anak. Peraturan parlimen hanya terhadap perjalanan dan perkara-perkara yang berlaku dalam parlimen sahaja.

iii) Tindakan ini juga dianggap sebagai campur tangan eksekutif terhadap kebebasan parlimen apabila menteri membawa usul yang bertujuan memenuhi agenda pihak eksekutif. Ini bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa.

iv) Kenyataan menteri untuk menghukum ahli parlimen yang ingkar dengan usul tersebut adalah melangkaui bidang kuasa menteri serta menghina parlimen kerana setiap kesalahan ahli parlimen hanya boleh dihukum oleh parlimen melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jadi ahli parlimen perlu terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

v) Pengisytiharan harta boleh mendedahkan kepada keselamatan diri sendiri dan keluarga jika maklumat pengisytiharan tersebut terdedah kepada pengetahuan umum. Sebagai contoh, seorang ahli parlimen kerajaan terpaksa pindahkan seluruh keluarga ke Australia kerana ancaman keselamatan.

vi) Ahli parlimen juga mengisytiharkan pendapatan dan harta mereka kepada bahagian cukai pendapatan setiap tahun. Maka pihak kerajaan boleh mendapatkan maklumat tentang pendapatan dan aset ahli parlimen dari Jabatan Cukai Pendapatan.

Malah, tegas Ismail Sabri, jika ada kesalahan-kesalahan yang mencurigakan membabitkan kes rasuah dan pecah amanah, SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat, menahan sesiapa sahaja yang didapati berkaitan pecah amanah dan rasuah.

“Pembangkang mendukung penuh amalan bebas rasuah dan menolak sebarang penyalahgunaan kuasa samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang sekalipun,” kata beliau. – SUARA MERDEKA

(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button