Politik

Pemimpin pembangkang naikkan poster solidariti bersama Guan Eng

MEDIA sosial pemimpin pembangkang terutama barisan kepimpinan DAP menaikkan poster ‘Solidariti Bersama Lim Guan Eng’ sejak malam tadi.

Poster dengan pelbagai reka bentuk, warna dan saiz itu sebagai tanda sokongan moral terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta pukul 9 pagi ini.

Antara yang menaikkan poster untuk menyatakan kebersamaan terhadap Guan Eng adalah Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching. Ahli Parlimen Pulai itu berkata, DAP yakin Guan Eng tidak akan tunduk kepada tekanan politik.

“Saya fikir saya tidak akan marah-marah lagi. Solidariti bersama Saudara Lim Guan Eng. Saudara Lim Guan Eng akan didakwa pada 9 pagi, 7 Ogos 2020, di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, KL berkaitan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Projek tersebut telah dilaksanakan melalui proses tender terbuka dan semuanya dilakukan secara telus. Kami yakin saudara Lim Guan Eng takkan tunduk kepada tekanan politik. Berani kerana benar! Kami akan terus bersama Sdr Lim Guan Eng,” kata bekas timbalan menteri Kementerian Pendidikan itu.

Turut menaikkan poster bagi menyokong anak Penasihat DAP Lim Kit Siang itu adalah Hannah Yeoh yang merupakan Ahli Parlimen Segambut.

“Minggu lepas sasarkan Shafie Apdal, Warisan dan Sabah. Minggu ini Lim Guan Eng, DAP dan Pulau Pinang.
Doakan untuk minggu depan,” tulis bekas timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Facebooknya.

Sementara itu Ahli Parlimen Seputeh pula mendakwa penahanan Guan Eng sebagai permulaan penganiayaan politik oleh Perikatan Nasional.

“SPRM telah menahan Lim Guan Eng. Tidak ada satu bukti pun menunjukkan perbuatan salah laku. Penganiayaan politik oleh Perikatan Nasional telah bermula,” luah bekas menteri Kementerian Industri Utama itu.

Guan Eng ditahan oleh SPRM malam tadi selepas hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.  Menurut kenyataan SPRM, Ahli Parlimen itu akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SRPM.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini kerana kesalahan mengikut Sekyen 23 Akta SPRM.

Setiausaha Agung DAP itu juga kemudiannya akan didakwa di mahkamah yang sama pada jam 9 pagi keesokan harinya (11 Ogos) kerana kesalahan mengikut Seksyen 23 akta sama. Menurut kenyataan itu lagi, SPRM mendapat izin mendakwa Guan Eng daripada Peguam Negara,

Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu adalah bersangkutan dengan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Pada hujung bulan lalu, Guan Eng sudah tiga kali dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM6.3 bilion.

Kes melibatkan Guan Eng dan terowong Pulau Pinang itu telah disiasat sejak tahun 2017. Projek tersebut mendapat perhatian banyak pihak selepas berlaku pertikaian pembayaran RM208 juta  kepada sebuah konsortium yang terlibat dalam projek berkenaan yang tidak siap sehingga kini.-SM

 

 

 

(Visited 496 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button