Belang Bertempat

Israel-Palestin: sekatan ekonomi, ketenteraan yang berat sebelah

SAYA telah mendengar ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan keganasan yang berlaku di Palestin.

Saya mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan tegas kepada Israel berkenaan keganasan yang mereka lakukan ke atas rakyat Palestin.

Namun demikian, kenyataan tegas sahaja amatlah tidak memadai, konflik ini telah berpanjangan selama berpuluh tahun dengan pelbagai kenyataan tegas dikeluarkan oleh Malaysia sebelum ini tetapi tidak diendahkan oleh Israel.

Apa yang perlu dibuat sekarang untuk mengubah keadaan ini adalah untuk bertindak dengan lebih aktif bagi mendapatkan sokongan kolektif pemimpin-pemimpin negara lain untuk mendorong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China, Russia, India dan negara-negara Eropah supaya mengenakan sekatan ke atas Israel.

Sekatan ini boleh dibuat dalam bentuk ekonomi atau ketenteraan.

Hanya dengan ini sahaja yang mungkin boleh memaksa Israel untuk berunding dengan lebih serius bagi mencapai solusi dua-negara atau “Two-state solution” yang telah dicadangkan sekian lama tetapi sehingga kini tidak menjadi kenyataan.

Semasa zaman Apartheid di Afrika Selatan dahulu, kerajaan Apartheid Afrika Selatan telah jatuh pada akhir tahun 1980an kerana tekanan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan banyak negara-negara di dunia.

Pada ketika itu akibat tekanan dari banyak negara untuk mengenakan sekatan ke atas Afrika Selatan, kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) terpaksa mengenakan sekatan ekonomi kepada kerajaan Apartheid Afrika Selatan pada tahun 1986.

Kongres Amerika Syarikat telah mewartakan Akta Anti-Apartheid 1986 walaupun pada awalnya Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan tidak bersetuju.

Dan UK telah akhirnya mengenakan sekatan ke atas Afrika Selatan pada tahun yang sama walaupun Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher pada awalnya juga tidak bersetuju.

Kerajaan Apartheid Afrika Selatan akhirnya jatuh pada tahun 1990 dan Nelson Mandela telah dibebaskan selepas dipenjarakan selama 27 tahun.

Pada hari ini, di Palestin, sekatan (ekonomi dan ketenteraan) hanya dikenakan kepada kerajaan Palestin (Hamas) oleh Israel dengan sokongan PBB kerana Hamas dikatakan oleh Israel adalah organisasi pengganas.

Namun tiada apa-apa sekatan ekonomi atau ketenteraan dikenakan ke atas Israel oleh PBB walaupun Israel dilaporkan kerap melakukan keganasan ke atas rakyat Palestin selama ini.

Saya harap Kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih aktif dalam hal ini dan bukan hanya melepaskan batuk di tangga dengan “kenyataan tegas” jika kita benar-benar serius untuk membantu rakyat Palestin. – Catatan dipetik daripada Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil – SM

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button