Nasional

Pengumuman Zahid tiada kaitan dengan PRN – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengumuman sejumlah peruntukan tidak ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN).

Menurut Anwar, kerajaan perlu menjalankan fungsi seperti biasa dan perlu bertemu dengan masyarakat biarpun kempen PRN sedang berlangsung.

“Penamaan calon semalam, ia tak ada kena mengena dengan PRN. Ada orang cadang tak ada pengumuman langsung, tak boleh,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023 pada Ahad.

Menurut Anwar, beberapa program telah dirancang sekian lama dan tidak boleh dibatalkan serta-merta hanya kerana kempen PRN sedang berjalan.

“Ini tidak harus menghalang kerja-kerja kerajaan, saya kena jumpa pegawai-pegawai kerajaan. Program ini (contohnya) sudah ditetapkan tiga bulan, jadi bila saya umum (peruntukan) kerana permohonan kementerian sudah berapa lama, kita nak umum semasa Hari Pengguna.

“Contoh pengumuman Ekonomi Madani (diputuskan) semasa Pelan Induk Industri dan penilaian Rancangan Malaysia Ke-12. Adakah ini semua kena tunda? Tidak, kerja kena diteruskan,” kata Anwar.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, semasa majlis kerajaan dan pengumuman peruntukan tidak dibenarkan sebarang pemasangan bendera parti dan dihadiri oleh calon pilihan raya.

Kabinet juga kata Anwar telah memutuskan bahawa jentera kerajaan tidak boleh digunakan semasa kempen dijalankan.

Parti pembangkang sebelum ini menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Beliau turut mengumumkan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.

Pembangkang mendakwa tindakan Ahmad Zahid memberikan peruntukan dan menyatakan peruntukan akan ditambah jika parti kerajaan menang PRN di negeri tersebut dianggap sebagai sogokan.

(Visited 237 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button