AgamaNasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis, Raja Puan Muda zahir Salam Aidilfitri

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Perlis serta semua kenalan Baginda berdua sekeluarga tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Harapan Baginda berdua semoga hari istimewa ini membawa keceriaan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada semua umat Islam untuk meraikan nikmat setelah sebulan berpuasa.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat bersama-sama dengan anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menghadiri ‘Majlis Mesra Ukhwah Silaturahim 2023’ bersama warga petugas Istana Arau yang diadakan di Bilik Menghadap Kuning Istana Arau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menasihati agar para pengguna jalan raya yang ingin membuat perjalanan jauh sentiasa cakna akan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan oleh Plus Malaysia Berhad dan merancang perjalanan masing-masing supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya, kawasan rehat serta plaza tol pada musim perayaan seperti ini.

Pemangku Raja Perlis juga turut menzahirkan agar semua yang pulang ke kampung halaman masing-masing memandu dengan rehat yang mencukupi, penuh berhemah, patuhi had laju dan berhati-hati di jalanraya, dengan iringan doa semoga selamat sampai pergi dan balik ke destinasi yang dituju ke pangkuan keluarga tersayang di kampung halaman.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitah pesan agar semua pihak mengingatkan keluarga masing-masing supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil segala langkah pencegahan yang sesuai terhadap penularan Covid-19 yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Raikanlah hari kemenangan yang berbahagia ini bersama-sama insan yang tersayang, sahabat handai, masyarakat setempat dan seluruh kaum musliman serta muslimat, untuk sama-sama bantu membantu antara satu sama lain dalam meraikan serta memeriahkan lagi hari yang penuh bermakna ini. – SM

(Visited 835 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button