Nasionalpilihan

Kanak-Kanak Lepasan JKM Disalurkan Peluang Pendidikan Dan Kerjaya – Perdana Menteri

Kerajaan amat mengambil berat tentang soal pemerkasaan kanak-kanak lepasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjamin masa depan golongan itu.

Lazimnya, mereka yang berusia 18 tahun tidak lagi ditanggung oleh JKM sekali gus boleh menyebabkan ada dalam kalangan mereka tercicir.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu pasukan khas akan diwujudkan dengan disertai oleh agensi-agensi Kerajaan.

Tujuannya adalah menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi JKM untuk melanjutkan pelajaran baik dalam bidang kemahiran mahupun akademik.

“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau Goverment Linked Company (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya.

“Manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 yang turut dihadiri Menteri-menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang terlibat.

Sementara itu, PERKESO dan MARA berperanan dalam menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian dan kesemua bantuan ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Mesyuarat pada hari ini juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap Kementerian dan agensi dalam usaha untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi dan mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

“Untuk itu GFT akan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang ahli bagi mengkoordinasi dan melaksanakan inisiatif untuk mencapai kesaksamaan gender,” jelas Perdana Menteri.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button