Mahkamah

Pemandu treler terlibat nahas 10 maut, mengaku tak bersalah

SEORANG pemandu treler yang terlibat dalam nahas menyebabkan 10 individu, termasuk sembilan sekeluarga maut dalam tragedi Sabtu lalu mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan.

Mohd Rafi Jaafar, 37, membuat penafian tersebut sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Majistret Shah Alam Nur Faizah Abdul Sani.

Dia yang memandu treler jenis Hanvan didakwa memandu kenderaan dengan cara bahaya terhadap orang awam dan menyebabkan kematian sembilan penumpang sebuah kereta dengan nombor pendaftaran WNL 1061 dan seorang pemandu kereta dengan nombor pendaftaran MAS 6651.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam, kira-kira jam 12.02 malam, 18 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Selain itu, lesen memandu tertuduh turut ditahan dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Dalam rayuannya, Mohd Rafi meminta jaminan dikurangkan kerana isterinya tidak bekerja dan kini menjaga seorang anak yang sakit di Hospital Melaka.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan lesen memandu digantung serta merta, selain memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Januari 2022.

Dalam kejadian itu penumpang kereta WNL 1061 ialah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan beradik, Mohd Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan; Puteri Nur Ain Shalwana, 3; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Mohd Rokaizat Rezky, 9; Mohd Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12, Razatul Aliah, 16 dan Mohd Razarul Amin, 17 terbunuh di tempat kejadian.

Turut terbunuh pemandu kereta MAS 6651, Muhammad Rahimi Rolex, 27.-SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button