Mahkamah

Lima individu terselamat daripada hukuman mati

Empat lelaki dan seorang wanita terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan mengedar serta memiliki dadah seberat 166.24 gram.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh pada peringkat akhir kes pendakwaan.

Kesemua tertuduh ialah Mohd. Nizam Makzan, 34; Nurshahira Hamraj, 27; Hairudin Ramle, 24; Muhammad Hilmi Rosly, 33, dan Dermawan Muhammad, 38.

Hakim berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dan empat daripada tertuduh bukanlah penghuni kediaman sewaktu tangkapan dibuat ke atas mereka.

“Keterangan tertuduh ketiga dan kelima adalah di dalam rumah dan bukan di meja kopi, ia tidak cukup sebagai bukti.

“Tiada mana-mana daripada tertuduh ditahan di meja kopi, walaupun mereka tahu mengenai dadah tersebut tetapi jika tiada kawalan adalah tidak mencukupi untuk dibuktikan sebagai pemilikan.

“Oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah justeru mahkamah mendapati pertuduhan mengedar dan menyimpan dadah ini gagal dibuktikan dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam Mak Kah Keong, Tiu Leong Kim, Datuk Hanif Hassan, Azrul Zulkifli Stork dan Andrew Lourdes.

Kesemua tertuduh didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 166.24 gram.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan.

Tiga lagi pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 12(2) dan dibaca bersama Seksyen 12(3) atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 1.44 gram, Manoacetymorphines (1.81 gram) dan ketamine (17.66 gram).

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah rumah di Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Mac 2018.

Seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 6 Ogos 2019. -SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button