Nasional

Raja Muda Perlis saran pengidap diabetes buat saringan tahunan

Raja Muda Perlis menyeru golongan berisiko tinggi menghidapi kencing manis agar membuat saringan pada setiap tahun walaupun tidak bergejala.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menekankan kepentingan saringan tahunan supaya penyakit itu dapat dikesan dan dirawat lebih awal, sekaligus mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri sesi ceramah mengambil sempena ‘Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Perlis’ yang disambut pada 14 November setiap tahun anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kesihatan Negeri yang diadakan di Masjid Al Islah, Ngulang sempena Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 33 bagi tahun 2021.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam program ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ tersebut adalah bagi meningkatkan lagi kesedaran berkenaan penyakit ini, impaknya ke atas kesihatan dan kesejahteraan, serta strategi berkesan yang boleh digunakan untuk mengekang dan mengawalnya.

Terdahulu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kampung Gial, Dr Muhammad Ihsan Zakaria dalam ceramah beliau menggesa golongan berisiko tinggi dan bergejala seperti kerap membuang air kecil, kerap dahaga atau lapar dan sentiasa berasa lesu agar segera membuat saringan awal di hospital ataupun di klinik berdekatan.

“Kencing manis atau diabetes tidak seharusnya dipandang ringan kerana ianya boleh membawa kepada komplikasi yang lebih teruk dan melibatkan banyak organ-organ dalaman yang lain seperti mata, otak dan juga jantung.

“Ini bergantung kepada jangka masa seseorang menghidap penyakit tersebut dan kawalan paras glukos dalam darah.

“Walaupun kencing manis ialah penyakit kronik dan kebiasaannya pesakit sukar untuk sembuh sepenuhnya, namun ianya boleh dikawal. Sehubungan itu, adalah sangat penting bagi semua golongan berisiko tinggi agar membuat saringan berkala supaya penyakit tersebut dapat dikesan di peringkat awal lagi,” maklum beliau.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah serangan jantung atau strok, sejarah kencing manis ketika hamil dan mereka yang berusia 30 tahun ke atas turut tergolong sebagai mereka yang berisiko tinggi dan disarankan membuat saringan awal.

“Antara komplikasi kencing manis adalah buta, kerosakan buah pinggang atau saraf, serangan strok serta masalah jantung.

“Komplikasi ini bukan hanya memberikan kesan yang berkekalan, malah memerlukan pengurusan pesakit yang amat rapi serta kos yang begitu tinggi untuk setiap kali rawatan,” tambah Muhammad Ihsan.

Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan zakat MAIPs kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut yang diwakilkan melalui amilnya, Abdul Rahman Dahlan. Masing-masing menerima RM400 dengan jumlah penuh diagihkan sebanyak RM11,200 pada kali ini.

Sebelum berangkat pulang, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa singgah di sudut promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs dan Rejimen 504 Askar Wataniah yang disambut oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

 

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button