Nasional

Jasa penting, tetapi bukan sekarang

PENUBUHAN semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) adalah penting dalam membawa mesej, misi dan visi kerajaan kepada rakyat.

Namun, penubuhannya ketika negara sedang berhadapan dengan krisis pandemik Koronavirus (Covid-19) dan tekanan ekonomi adalah tidak wajar.

Kepentingan ketika ini adalah menyalur dana kepada kementerian dan kepada rakyat dalam usaha membendung penularan wabak serta mengurangkan tekanan sara hidup.

Malah, penubuhannya juga nanti dikhuatiri akan dimanipulasi untuk kepentingan politik sedangkan keutamaan kepada rakyat adalah yang diperlukan sekarang.

“Tetap kalau kita hendak teruskan penubuhan semula Jasa seperti dalam pengumuman Belanjawan 2021 semalam, menaikkan peruntukannya sampai RM81 juta pada waktu ini adalah tindakan yang sangat tidak kena pada masanya.

“Sebab, pada waktu ini, kita hendak bantu rakyat yang dalam kesusahan sebab Covid-19.

“Tiba-tiba diberi RM81 juta, ini adalah satu tindakan yang sangat bahaya dan tidak bijak.

“Kalau kita kata ini adalah pembangkang memanglah tidak, kita lihat dalam sehari dua ini yang membantah adalah daripada UMNO sendiri.

“UMNO dahulupun kali terakhir pun tak sampai RM30 juta, naik pula lebih seratus peratus.

“Ini satu tindakan yang sangat-sangat kurang bijak dan saya rasa agak zalim jika dibandingkan dengan peratusan yang diberikan untuk sektor lain.

“Tetapi, tiba-tiba untuk satu sektor propaganda kerajaan yang boleh dimanipulasi oleh parti tak patut diteruskan.

“Macam ramai cuba menangguk di air yang keruh pula, hendak ambil peluang. Adalah… kalau kita lihat dalam media sosial, bagaimana mereka pecahkan jumlah tersebut dan cuba buat unjuran-unjuran nampak memang tidak realistik langsung.”

Demikian kata Pensyarah Kanan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau menjelaskan, peruntukan tersebut wajar dibantah oleh semua Ahli Parlimen dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.

Katanya, penubuhan Jasa adalah tidak perlu sebaliknya diwujudkan satu jawatankuasa khas dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menjalankan tugas Jasa.

“Kalau ambil sepuluh peratus daripada jumlah tersebut suntik lagi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk kuatkan kerja propaganda.

“Kuatkan di sana, tubuhkan satu unit dan katanya diperlukan 50 orang.

“Sekarang, cuma perlukan satu jawatankuasa, mungkin ia dipilih dalam beberapa orang pakar-pakar di luar sebagai satu pasukan.

“Satu pasukan yang dianggotai oleh penjawat awam. Penjawat awam memang dapat gaji, mereka boleh jadi second-men. Boleh jimat banyak.

“Apa masalahnya hendak tubuhkan satu jabatan baharu dan dibelanjakan puluhan juta. Ini satu benda yang kita kena bantah,” tegasnya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat.

Dalam belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu, sebanyak RM81.5 juta diperuntukkan bagi menubuhkan semula Jasa yang dibubarkan pada 2018. – SM

 

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button