Jenayah

Pemandu e-hailing ‘terciduk’ subahat seludup warga asing rentas negeri

Taktik seorang wanita cuba merentas negeri dengan berbaring di dalam bonet sebuah kereta untuk berjumpa suaminya tidak berhasil apabila berjaya dihidu pihak polis dalam sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, wanita berusia 28 tahun yang ditahan merupakan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, tindakan licik itu berjaya dihidu selepas penguat kuasa terlihat wanita terbabit masuk ke bahagian belakang bonet kereta jenis Bezza berkenaan sebelum tiba di SJR.

“Curiga dengan kejadian tersebut, pasukan penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan lanjut penguat kuasa di bahagian bonet kereta tersebut sebelum menemukan seorang wanita dalam keadaan berbaring.

“Hasil soal siasat, pemandu kereta tersebut kemudian mendakwa dia melakukan perkhidmatan e-hailing dan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Rembia di sini untuk menghantar wanita terbabit,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Tambahnya, pihaknya percaya, di awal perjalanan wanita tersebut duduk di bahagian penumpang belakang, namun bertindak masuk ke dalam bonet kenderaan apabila menghampiri SJR.

Jelasnya, wanita tersebut mendakwa ingin ke Rembia bagi berjumpa dengan suaminya yang juga warga Indonesia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama selepas setahun terpisah.

“Kita difahamkan tempahan e-hailing itu telah dilakukan suami dan bayaran akan dibuat sejurus selepas tiba di lokasi.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan kerana maklumat diterima setakat ini terhad ekoran wanita terbabit berada dalam keadaan pening kepala susulan berbaring di dalam bonet kereta,” jelasnya.

Katanya, polis menahan wanita tersebut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah, manakala pemandu e-hailing disiasat mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa premit sah.

Tambahnya, siasatan turut dilakukan di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 15) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button