Nasional

Pemandu bas mohon maaf, dakwa sistem brek gagal berfungsi

PEMANDU bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik hingga mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendakwa sistem brek bas persiaran tersebut tiba-tiba gagal berfungsi.

Sehubungan itu dia meminta maaf kepada semua keluarga mangsa.

Memetik laporan Harian Metro, pemandu terbabit, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, berkata, pada awal pemanduan semuanya berada dalam keadaan baik.

Namun katanya, sebaik tiba di kawasan jambatan lintasan gajah di Gerik, sistem brek bas didakwa gagal berfungsi.

“Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam. Apa yang berlaku disebabkan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.

“Ketika itu saya sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas juga kosong menyebabkan semua tidak berfungsi termasik brek tangan dan gear bas juga tidak boleh ditukar,” katanya.

Pemandu itu mendakwa, dia telah berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada merempuh kenderaan lain sebelum kemalangan berlaku.

Seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori. Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcham dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-apa.

Pemandu itu berkata, dia juga sempat memberi arahan kepada para penumpang agar bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan bas tersebut sudah tidak dapat dikawal.

“Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah.

“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu.

“Saya tidak memandu laju sebagaimana yang tular kerana saya sendiri arif dengan laluan Jeli-Gerik, apatah lagi lokasi kejadian itu sedang menuruni bukit.

“Saya merangkak keluar daripada cermin depan dan ketika itu saya melihat keadaan pelajar semua. Saya sendiri sedih dan menangis dengan apa yang berlaku, namun apakan daya, Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.

Katanya, itu adalah kali pertama dia terlibat dalam kemalangan serius yang mengorbankan nyawa sepanjang bergelar pemandu bas sejak tahun 2016.

“Sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.

“Namun apa yang berlaku tidak mampu diundurkan masa, saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan saya menyerahkan siasatan kepada pihak polis,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button