
Pemandu Bas Dedah Kronologi, “Angin Brek Kosong, Saya Cuba Elak Tapi Tak Sempat”
“Saya minta maaf kepada semua keluarga mangsa, saya rasa sangat bersalah,” demikian luahan penuh kesal pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli–Gerik, awal pagi semalam.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, yang kini dirawat di Hospital Taiping akibat kecederaan, tampil menjelaskan kronologi insiden menyayat hati yang meragut nyawa 15 pelajar dan mencederakan puluhan yang lain.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila brek bas yang dipandunya tiba-tiba gagal berfungsi ketika menuruni laluan selekoh berbukit.
“Saya cuba tarik brek tangan, tekan brek kaki, tukar gear… semua tak berfungsi. Angin dalam sistem brek pun habis. Saya langsung hilang kawalan,” katanya sebak.
Dalam detik panik itu, beliau sempat menjerit meminta para pelajar berjaga-jaga dan memegang erat tempat duduk, namun kebanyakan daripada mereka sedang tidur.
Tambah Amirul, dia cuba sedaya upaya mengelak empat kenderaan di hadapan termasuk sebuah lori sebelum akhirnya bas melanggar belakang sebuah MPV Perodua Alza dan terbalik di laluan berselekoh tersebut.
“Saya cuba elak kenderaan… tapi bila dah tak boleh kawal langsung, saya cuma mampu berserah. Saya betul-betul minta maaf,” katanya lagi.
Siasatan Masih Dijalankan
Polis Diraja Malaysia mengesahkan kemalangan berpunca daripada bas yang hilang kawalan sebelum melanggar MPV dan terbalik. Siasatan awal menjurus kepada kemungkinan kegagalan sistem brek sebagai faktor utama.
Pasukan khas yang terdiri daripada JKJR, MIROS dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Sementara itu, waris mangsa menuntut penjelasan lebih jelas daripada syarikat bas mengenai aspek penyelenggaraan serta status sebenar pemandu, termasuk kemungkinan tindakan sivil terhadap pihak bertanggungjawab.
Tragedi Yang Tidak Akan Dilupakan
Kemalangan ini disifatkan sebagai antara yang paling tragik melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi dalam tahun ini. UPSI telah menubuhkan bilik gerakan khas untuk membantu keluarga mangsa dan menyediakan saluran bantuan psikososial serta logistik.