
Pemanah Muda Malaysia Usung Misi Budaya ke Hungary
EMPAT pemanah muda Malaysia bakal mencipta sejarah apabila mewakili negara ke Kejohanan Memanah Sejarah Dunia 2025 yang akan berlangsung di Gyula, Hungary bermula 1 Jun ini.
Bukan sekadar misi meraih pingat, penyertaan mereka membawa makna lebih besar – mengangkat martabat warisan budaya dan memupuk diplomasi serantau melalui sukan memanah tradisional.
Pengerusi Kelab Pemanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KPDBKL), Azmanizam Aziz berkata, kejohanan kali ini lebih daripada sekadar pertandingan.
“Kami bukan hanya bercakap tentang kemenangan, tetapi tentang melestarikan warisan budaya melalui sukan. Ia adalah usaha menyatukan elemen budaya, pelancongan dan hubungan serantau melalui aktiviti memanah warisan,” jelasnya.
Kejohanan selama dua hari itu bakal menghimpunkan lebih 300 pemanah dari pelbagai negara termasuk Thailand, Jordan, India dan Hong Kong. Menariknya, setiap peserta akan beraksi dalam busana tradisional masing-masing, menjadikan acara ini bukan sahaja kompetitif, tetapi turut memperkayakan nilai estetika budaya.
Antara inisiatif strategik yang turut diambil sempena kejohanan ini adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerbitkan buku undang-undang rasmi pertandingan dalam Bahasa Malaysia. Terjemahannya ke dalam Bahasa Indonesia, Tagalog dan Hindi juga sedang dirancang.
“Kejohanan ini menjadi wadah menyatukan diplomasi sukan, warisan dan pembangunan belia serantau, sejajar dengan tema Memanah Warisan Menyatukan ASEAN,” tambah Azmanizam.
Penyertaan pemanah muda negara ini bukan sahaja sebagai pencabar kejuaraan, malah sebagai duta budaya dan tradisi Malaysia ke pentas antarabangsa.