Politik

Mahathir – legenda tanah air, dunia tiada galang ganti

Analisis

TUN Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri mempunyai latar belakang hidup yang begitu sukar ditandingi.

Ibarat berjalan sudah terpanjang perjalanannya. Dari sudut pengalaman, tiada lain yang setanding dengannya.

Insan bernama Mahathir Mohamad ini sudah pun diiktiraf sebagai legenda tanah airnya dan juga dunia.

Ternyata dalam era ini, apabila sahaja disebut Malaysia di luar negara orang bertanya lagi – Mahathir? Tanda Tanya itu kemudian biasanya menjurus kepada pendirian Dr M; kata-kata anti Zionisnya, falsafah tegasnya terhadap politik dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Palestin, hegemoni Amerika dan hal-hal berkaitan aliran kuasa negara-negara besar.

Semasa penulis bertugas di Utusan Malaysia sebelum ini membuat liputan lawatan kerja rasmi Dr Mahathir dan dua Perdana Menteri selepas beliau di luar negara, tajuk Mahathir sering jadi topik perbualan.

Biasanya tajuk-tajuk perbualan iti menjurus kepada keterampilan anak Malaysia dari Kedah ini.

Fasa pertama Dr. Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun (1981–2003); menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Hussein Onn 1976–1981. Lebih awal dari itu, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Menteri Perdagangan Antarabangsa sebelum dilantik sebagai TPM 1976.

Pada tahun itu, susulan meninggalnya Tun Abdul Razak di London, begitu ramai yang meramalkan TPM tentunya akan dipegang oleh Tan Sri Ghazali Shafei yang popular dengan jolokan King Ghaz.

Lantaran King Ghaz tidak menduduki kerusi Naib Presiden UMNO ketika itu, ramalan ramai itu tidak menjadi kenyataan dan Dr M sebaliknya dipilih oleh Tun Hussein Onn sebagai timbalannya.

Beliau sering mengasaskan pendapat dan pandangan kepada lojik dan data. Selepas BN ditumbangkan pada 9 Mei 2018, beliau perdana menteri Malaysia yang ketujuh. Dua kali jadi PM biasa bagi dunia luar: Winston Churchill juga dapat jadi PM Britain dua kali, kebanyakan presiden Amerika berkhidmat dua penggal.

Cuma pemegangan kuasa Tun M kali kedua ini, jauh bezanya daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981–2003. Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik.

Meminda perlembagaan Persekutian 1993 sehingga Raja-Raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu. Mahathir berjaya meletakkan konsep keluhuran undang-undang atau rule of law seperti yang dituntut di bawah Rukunegara.

Bagaimanapun semasa mengetuai Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR, DAP dan Amanah, Dr. Mahathir kena merujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden PH.

Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti PPBM atau Bersatu cuma punya 26 kerusi Dewan Rakyat berbanding 50 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika Bersatu beroleh, katalah, 50 kerusi Dewan Rakyat.

Berasaskan realiti bahawa kuasa politik ditentukan oleh bilangan kerusi dan keanggotaan parti yang ramai, Bersatu sering dilihat sebagai parti yang kurang prasarana keahlian dan kerusi. Di peringkat ini tidak dinafikan Bersatu banyak bergantung imej dan harapan kepada Dr. Mahathir.

Sebab itu ada tanggapan, jika beliau tiada lagi memimpin parti itu selepas ini banyak meramalkan parti itu akan mengalami fasa serik. Kerana itu jugalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keluar dari PH hari ini – kemungkinan besar bergabung dengan UMNO, Pas, Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk Perikatan Nasional.

Begitupun semasa pentadbiran PH dalam tempoh dua tahun ini, “politik isi perut dan poket” tidak terjaga oleh menteri-menterinya. Harga barang dapur dan keperluan harian yang meningkat termasuk minyak, tol jalan dan harga rumah yang tidak mampu-beli – inilah sebahagian contoh-contoh “politik isi perut dan poket” yang semestinya lekas diatasi.

Dr. Mahathir bukan sahaja terkenal dengan tindakannya yang pantas dan berhasil semasa menjadi PM fasa pertama dahulu, beliau juga terkenal sebagai pemikir tentang tajuk-tajuk kemanusiaan, kemiskinan, lojik agama, kepentingan negara Selatan-selatan, industri berat termasuk dasar automotif negara, nilai-nilai murni di bawah dasar Pandang ke Timur dan lain-lain.

Selaku penulis prolifik, beliau menghasilkan 12 buku dan pelbagai rencana. Antara penulisannya yang terkenal: Dilema Melayu, Wawasan 2020, Memajukan Perniagaan, The Way Forward, Mahathir’s Selected Letters, The Voise of Asia, Conversations with Mahathir, Doctor in the House, dan lain-lain.

Tiada seorangpun dalam dunia moden yang masih bertugas sebagai pemimpin negara pada tahap umur 94 tahun, jauh sekali sebagai perdana menteri atau presiden sesebuah negara di peringkat umur itu. Dengan gaya dan hal-ehwal kesihatannya yang unggul, Tun M memang unik dan layak dicontohi.

Semua ini berlaku dan terjadi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang usianya genap 94 tahun pada 10 Julai 2019 dan sehinggalah tengah hari ini beliau meletak jawatan.

Tiada siapa yang gamak mengatakan bahawa persekitaran begini berlaku kepada seseorang individu biasa. Ramai yang berpendapat dengan usia yang begitu lanjut, kepintaran berolah dan berinteraksinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan.

Langkahnya masih panjang walaupun gontai, turun naik tangga masih mampu dan bertenaga; paling ketara, kemampuan mindanya walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan otak yang masih cerdas.

Ada pihak berkata. Ya, Mahathir semacam seorang yang terpilih dan seorang pemimpin yang unik lagi disegani tetapi pada usia 94 tahun beliau seharusnya bersedia diganti. Soal tukar dan ganti memang tidak dinafikan mesti berlaku dan dilakukan.

Ini sudah jadi lumrah alam dan kemanusiaan. Cuma yang menjadi isu di sini ialah masa dan ketikanya bagi penggantian itu dilakukan.

Soal penggantiannya inilah yang sering dan bertubi-tubi diketengahkan oleh pemerhati dan pengamal politik tanah air. Ini tidak kira lagi pendekatan yang diserlahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sendiri.

Beliau selaku Presiden PKR manakala selesai diampunkan Yang di-Pertuan Agong (dengan bantuan kukuh Dr. Mahathir tentunya) dan susulan menang sebagai Ahli Parlimen kawasan Port Dickson, diketahui umum amat mengharapkan Tun M berundur dalam tempoh yang dipersetujui.

Tentunya tempoh itu sudah sampai pada saat ini. Cuma istilah ‘tempoh yang dipersetujui’ juga amat kabur dan penuh dengan huraian ‘semak belukar’.

Sesungguhnya Allah menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah. Rekod dunia sudah dipecahkan. Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni.

Cuma yang tinggal untuk dicapai ialah hasrat rakyat untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan.

Siapa pengganti Dr Mahathir?

Suara Merdeka belum mendapat jawapannya lagi. – SM

(Visited 628 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button