Politik

Dia akan bertanding pilihan raya? Tanya Teresa selepas disaman RM8 juta

AHLI Parlimen DAP Teresa Kok melahirkan perasaan hairan dengan tindakan seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff yang memfailkan saman fitnah berjumlah RM8 juta terhadap dirinya.

Bekas menteri industri utama itu berkata, beliau tertanya mengapa pensyarah berkenaan mengemukakan tuntutan terhadap beliau berhubung perkara yang dianggap oleh beliau sebagai kecil.

Ahli Parlimen Seputeh itu turut melontarkan pertanyaan, sama ada tindakan Kamarul itu disebabkan beliau akan bertanding dalam pilihan raya.

“Saya tertanya-tanya mengapa lelaki begitu banyak masa mengemukakan tuntutan terhadap perkara kecil terhadap saya. Adakah dia akan bertanding dalam pilihan raya?” sindir Teresa di Facebooknya.

Media semalam melaporkan, Kamarul Zaman memfailkan saman terhadap Teresa yang didakwa kerana membuat kenyataan fitnah terhadap dirinya tiga tahun lepas.

Kamarul Zaman mendakwa pernyataan di laman Facebook Teresa dan kenyataan media beliau selepas itu telah merosakkan reputasinya sebagai ahli akademik dan felo di Institut Penyelidikan Islam (Iksim).

Saman fitnah itu difahamkan adalah susulan laporan polis yang dibuat Kamarul Zaman terhadap bekas timbalan menteri Hannah Yeoh berhubung autobiografi beliau berjudul “Becoming Hannah”.

Kamarul Zaman mendakwa beliau “ditempelak, dituduh, dimalukan dan difitnah”, terutama oleh kepemimpinan DAP selepas beliau membuat laporan polis tersebut.

Kata Kamarul Zaman, pernyataan Teresa adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat dengan membayangkan bahawa beliau adalah ancaman kepada orang awam dan tidak layak menjadi pensyarah.

Kamarul menuntut ganti rugi RM8 juta daripada Teresa dan juga perintah injunksi untuk menghentikannya daripada mengulangi kenyataan tersebut.

Kamarul berkata, peguamnya telah menghantar surat menuntut permohonan maaf daripada Teresa pada 23 Jun lalu, bagaimanapun pasukan perundangan ahli Parlimen itu menolak tuntutan itu.

Kamarul mendakwa bahawaTeresa menyiarkan satu lagi kenyataan fitnah terhadap beliau di laman Facebook tahun ini, dengan mendakwa pensyarah itu “hanya mencari publisiti murahan”.-SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button