Berita

RM300 juta pinjaman kepada AirAsia untuk manfaat rakyat Sabah – Shafie

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yakin pinjaman RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) kepada AirAsia Berhad diluluskan selepas menepati syarat.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap urus niaga berkenaan.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, tiada perkara yang disembunyikan di sebalik kelulusan tersebut, malah sebagai syarikat yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia, AirAsia perlu menepati syarat sebelum pinjaman diberikan.

Mohd. Shafie turut menjelaskan beberapa perancangan pembangunan AirAsia daripada pinjaman berkenaan yang dijangka mampu mencipta kira-kira 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat tersebut menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Syarikat penerbangan itu merancang untuk beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai OurFarm selaras dengan sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-commerce.

“AirAsia juga merancang membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka,” katanya lapor Borneo Today.

Menurut beliau, segala perancangan AirAsia itu sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan, malah semasa menjadi Ketua Menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 telah dilancarkan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri pengeluar produk pertanian selain memastikan jaminan makanan (food security) bagi negara.

Katanya, dengan adanya bekalan produk pertanian, para petani sudah tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.

“Dalam sektor pelancongan pula, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.

“Kita sedar sebelum Covid-19 melanda, ekonomi Sabah meningkat dengan pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi yang tidak terbatas di semua peringkat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi melimpah sehingga ke Pantai Timur Sabah,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai pentadbir negeri, kerajaan tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) semata-mata, sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecilkan.

Sehubungan itu, beliau yakin sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah sendiri akan menerima manfaat.

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button