
Peluru Cokelat Barbarik Tembusi Jiwa Peminat Rock di Zepp KL
KUMPULAN rock legenda, Barbarik membuktikan aura mereka masih berbisa apabila berjaya menggegarkan Zepp Kuala Lumpur dalam konsert Pentas Peluru Cokelat pada malam 28 Jun lalu, yang dihadiri lebih 2,700 penonton.
Konsert yang dijadual bermula jam 8.45 malam itu terpaksa dilewatkan selama 15 minit bagi memberi laluan kepada ratusan peminat yang masih beratur memasuki dewan. Walaupun terpaksa menunggu, semangat peminat tetap membara, seiring dengan kehangatan persembahan yang berlangsung hampir tiga jam tanpa henti.
“Kami sebenarnya terkejut dengan sambutan luar biasa ini, apatah lagi ketika banyak konsert lain turut berlangsung serentak. Namun, peminat tetap memilih rock dan hadir menyokong kami,” kata gitaris utama JoBranko dalam sidang media selepas konsert.
Barisan anggota Barbarik yang terdiri daripada Muss (vokal), JoBranko (gitar utama), Rozaimi (gitar) dan Ainol (dram) tampil penuh bertenaga dengan persembahan mantap daripada segi vokal, bunyi dan susunan muzik yang padu.
Vokalis Barbarik, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 57, mengakui dirinya kurang sihat sebelum konsert namun bersyukur kerana persembahan berjalan lancar.
“Saya risau juga mulanya, tetapi alhamdulillah, semasa atas pentas semuanya lancar dan vokal tidak terganggu. Latihan tiga bulan yang kami jalani berbaloi apabila melihat penonton puas dan terhibur,” ujarnya.
Barbarik mempersembahkan sebanyak 22 buah lagu, antaranya daripada album sulung mereka termasuk Nasib Baik, Marcapada, Peluru Cokelat, Didakap Pesona dan Kasmaran Selamanya.
Segmen Retrostika pula menjadi antara sorotan malam itu apabila menampilkan lagu-lagu nostalgia seperti Sketsa Sebuah Cinta, Potret Monalisa, Cintamu Mekar di Hati dan Taman Rashidah Utama, dengan kehadiran gitaris jemputan seperti Shah Slam, Muzza, dan Ujang Tukimon. Tidak ketinggalan, legenda Karl Cromok turut berduet menerusi lagu Golok Kayu dan Jerangkung Dalam Almari.
Sebagai penutup, Barbarik mengejutkan peminat dengan persembahan lagu tidak dirancang, Keris Tidak Bersarung, yang disampaikan secara spontan atas cadangan JoBranko sendiri.
“Masa itu kami semua sudah mahu turun pentas, tiba-tiba JoBranko kata nak belanja satu lagu lagi. Saya, Ainol dan Rozaimi dah pucat sebab masing-masing dah ‘bungkus’. Tapi itulah kejutan yang sentiasa ada dalam konsert kami,” seloroh Muss sambil tertawa.
Konsert Pentas Peluru Cokelat dianjurkan oleh Karri Talk Production dengan kerjasama Pentas Barbarik Sdn. Bhd.