
Pelumba Kecil, Semangat Besar! M8 Langkawi Tarik 500 Peserta Antarabangsa
KEJOHANAN M8 Langkawi International Runbike Championship 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu menutup tirai dengan penuh gemilang apabila menyaksikan penyertaan lebih 500 pelumba cilik, termasuk 100 peserta antarabangsa dari Thailand, Indonesia dan Singapura.
Penganjuran edisi tahun ini disifatkan paling sengit dalam sejarah kejohanan, menampilkan bakat luar biasa rantau Asia Tenggara yang bersaing dalam pelbagai kategori.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kehadiran pelumba bertaraf antarabangsa memberi saingan hebat kepada peserta tempatan, sekaligus membuktikan potensi sukan pushbike di pentas serantau.
“Tahun ini kami jangkakan saingan luar biasa kerana setiap negara menghantar wakil terbaik mereka. Ia menjadi pentas penting untuk membuktikan siapa paling pantas di Asia Tenggara dalam sukan pushbike,” katanya.
Antara peserta paling mencuri tumpuan ialah Maleeq Dragster, satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan di Jepun serta beberapa negara lain termasuk Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand. Maleeq menjadi calon utama untuk kategori terbuka, bersama nama besar lain seperti Horbint dari Thailand dan Adrian dari Singapura.
Bagi kategori perempuan, Wan Adra Mikayla muncul sebagai juara bertahan yang kembali mempertahankan gelaran. Mikayla turut mencatat sejarah sebagai satu-satunya pelumba perempuan menjuarai RCB Minimoto Championship 2025, menjadikannya atlet dua disiplin yang semakin digeruni.
“Mikayla bukan sahaja berjaya dalam sukan, malah kini dikenali ramai sebagai pelakon cilik menerusi tiga drama popular serentak — Dzikir, Budak-budak Pushbike, dan Hilang Kasyorga,” tambahnya.
Pelumba muda lain yang turut mencuri perhatian ialah Mikael, pelumba aktif dalam perlumbaan motosikal yang kini menunjukkan kemajuan ketara dalam kategori bawah umur kelahiran 2017.
Dorong Ekonomi Tempatan, Promosi Tahun Melawat Malaysia
Lebih daripada sekadar acara sukan, kejohanan ini turut memberi impak langsung kepada ekonomi tempatan, khususnya sektor pelancongan Langkawi.
“Pushbike bukan sekadar sukan, ia gaya hidup keluarga. Ramai yang hadir bersama keluarga bukan sahaja bertanding, tetapi juga melancong dan menikmati keindahan Langkawi,” ujar Wan Mohd Muzri.
Penganjur menerima maklum balas positif daripada pengusaha tempatan termasuk pengusaha kereta sewa, hotel, restoran dan penjaja yang melaporkan lonjakan tempahan dan jualan sepanjang kejohanan berlangsung.
Acara kali ini turut dijalankan dengan kerjasama erat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai sebahagian daripada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, serta sokongan daripada LADA, KBS, KPM dan PKBM.
“Ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta sangat penting dalam menjayakan sukan bertaraf antarabangsa. Ia memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan aktif dan inklusif,” katanya.
Beliau percaya platform seperti ini penting dalam mencungkil bakat dari peringkat akar umbi dan memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai lokasi utama sukan lasak dan kekeluargaan di Asia Tenggara.