Sukan

Pelumba Cilik M8 Racing Cabar Saingan di RCB Minimoto

TIGA pelumba cilik dari pasukan M8 Racing Team bersedia mencuri tumpuan apabila membuat penampilan sulung mereka dalam Kejohanan RCB Minimoto 2025 yang berlangsung di Litar Horizon Beranang (HBC) dari 23 hingga 25 Mei ini.

Beraksi dalam kategori 6 hingga 9 tahun, ketiga-tiga adik-beradik – Mikayla (satu-satunya pelumba perempuan), Maleeq (pelumba termuda) dan Mikael – tampil dengan penuh keyakinan selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu bersama pasukan profesional ZK Racing.

Menurut Pengarah Bersama HBC, Rozali Salleh, kehadiran pasukan baharu seperti M8 Racing Team menyemarakkan lagi saingan kejohanan.

“Walaupun masih hijau dalam sukan minimoto, semangat yang ditunjukkan oleh trio 3M ini sangat mengagumkan. Prestasi mereka ketika latihan menunjukkan peningkatan ketara. Saya tidak sabar melihat sejauh mana mereka boleh bersaing hujung minggu ini.”

Tambah beliau, dengan latar belakang dalam sukan pushbike di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, peluang untuk melihat mereka di podium bukanlah sesuatu yang mustahil.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Azlan Abd Rahman, bapa kepada juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Qabil Irfan.

“Saya lihat sendiri keberanian mereka. Mikayla ada potensi besar, Maleeq cepat tangkap arahan walaupun baru berusia enam tahun, dan Mikael pula sangat yakin. Mereka berani menyahut cabaran ini.”

Qabil Irfan turut menitipkan semangat kepada pelumba muda itu:

“Dulu peluang seperti ini tak banyak. Sekarang masa mereka buktikan kemampuan. Mikayla kena percaya diri — gadis pun boleh bersaing. Maleeq pula, teruskan usaha. Siapa usaha lebih, dia akan berjaya.”

Bapa mereka, Datuk Muzri dari M8 Malaysia menjelaskan bahawa penyertaan kali ini bertujuan untuk memberi pendedahan sebelum bersaing secara serius pada musim 2026.

“Sebenarnya, sasaran kami adalah tahun depan. Tapi bila ZK Racing buka sesi pemilihan kedua, saya nampak mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Jadi, kami ambil peluang ini awal.”

Beliau turut menyatakan kebimbangan awal tentang keselamatan dalam sukan permotoran, namun yakin setelah melihat standard keselamatan yang diterapkan ZK Racing.

“Kejohanan ini juga mendapat kelulusan MAM serta sokongan KBS dan Kementerian Pendidikan. Ini beri keyakinan kepada kami sebagai ibu bapa.”

Sementara itu, bekas pelumba Moto2/Moto3 dan peneraju ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan kejohanan minimoto sebagai platform penting untuk membina asas sebelum ke peringkat lebih tinggi.

“Minimoto adalah laluan terbaik buat pelumba pushbike melangkah ke sukan bermotor. Kategori 40cc ini bantu mereka kuasai teknik kawalan dan daya saing sejak kecil.”

Beliau juga memuji komitmen keluarga tersebut yang gigih memastikan latihan berterusan untuk anak-anak mereka.

“Konsistensi dalam latihan adalah kunci untuk jadi pelumba handal. Pengalaman pushbike mereka juga bantu dari segi kestabilan dan kawalan jentera.”

Dengan penyertaan 16 pelumba muda dalam kejohanan kali ini, termasuk tiga adik-beradik dari pasukan 3M Racing Team, saingan dijangka lebih sengit – membuka peluang kepada lebih ramai bakat muda menyerlah di arena permotoran tanah air.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button