
“Pelukan Terakhir Kakak Akan Kekal Dalam Ingatan” – Adik Jemaah Haji Pertama Malaysia Meninggal di Tanah Suci
BATU PAHAT – “Pelukan terakhir kakak di lapangan terbang terasa lain… seolah-olah dia tidak mahu melepaskan, seakan tahu itu perpisahan terakhir.” Demikian luahan pilu Anggiat Tambunan, 44, adik kepada Allahyarham Norizah Tambunan Nordin, jemaah haji pertama Malaysia yang meninggal dunia di Mekah tahun ini.
Norizah, 49, yang masih bujang, disifatkan sebagai seorang kakak penyayang dan berada di bawah jagaan Anggiat, satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik. Arwah bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Kluang dan berangkat ke Tanah Suci sebagai jemaah rombongan haji Kerajaan Negeri Johor.
Menurut Anggiat, pelukan dan pesanan terakhirnya kepada kakak ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai akan sentiasa terpahat dalam hati mereka sekeluarga.
“Saya sempat bisikkan pesanan arwah ibu, agar kita sentiasa berusaha selamat di dunia dan akhirat. Pelukan kakak ketika itu terasa sangat berat, seolah-olah dia tahu akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Low Piak, Taman Nira.
Norizah dilaporkan rebah dan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan melakukan tawaf pada 16 Mei lalu, jam 6.20 pagi waktu tempatan. Jenazahnya disolatkan selepas solat Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah pada hari sama.
Walaupun sukar menerima kehilangan itu, Anggiat dan ahli keluarga tetap reda dengan pemergian Norizah, apatah lagi beliau menghembuskan nafas terakhir di tanah suci ketika menunaikan ibadah haji – satu penghormatan yang cukup besar dalam Islam.
Sumber : Refleks!