Luar Negara

Pelukan Berbayar Jadi Terapi Emosi Popular Semakin Popular

DI tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan moden dan tekanan emosi yang semakin meruncing, muncul satu trend unik di China yang mencuri perhatian ramai — servis ‘tukang peluk’ atau professional cuddler yang ditawarkan secara terbuka di kawasan awam.

Menurut laporan media tempatan, seorang pemuda yang dikenali sebagai Zhou berjaya meraih lebih RM1,000 selepas menyelesaikan 34 sesi pelukan berbayar. Menariknya, servis ini bukanlah untuk tujuan romantik, sebaliknya sebagai bentuk terapi emosi dan sokongan mental.

Setiap sesi pelukan berlangsung sekitar lima minit dan dikenakan bayaran antara RM13 hingga RM33. Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang, majoritinya wanita, yang memilih servis ini kerana merasakan ia selamat, tidak melampaui batas dan membantu mereka berasa lebih tenang.

Zhou, yang kini digelar sebagai “man mum”, menjalankan perkhidmatan ini di kawasan terbuka seperti stesen bawah tanah dan pusat beli-belah. Beliau turut menjelaskan bahawa sebelum memulakan sesi, pelanggan akan diminta untuk memahami garis panduan serta memberikan keizinan penuh — menekankan aspek keselamatan dan persetujuan dua hala.

Fenomena ini menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang melihatnya sebagai cara inovatif untuk membantu individu mengurus tekanan dan kesunyian, manakala segelintir pula menganggap ia pelik dan sukar diterima budaya Asia yang lebih konservatif.

Walau apa pun pandangan, servis tukang peluk ini menunjukkan bagaimana kesejahteraan emosi dan sentuhan fizikal yang selamat boleh menjadi satu bentuk perniagaan yang bukan sahaja memberi keuntungan, tetapi juga menyentuh keperluan asas manusia — untuk merasa disayangi dan dihargai.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button