Politik

Ketegasan dan prinsip Zahid Hamidi tidak disenangi lawan

KETEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam hal parti dan isu yang mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat amat tidak disenangi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan PPBM.

Naib Ketua Bahagian UMNO Seremban, Mazalan Ma’arop berkata, berganding dengan Datuk Seri Najib Razak dalam menggasak isu-isu kebajikan rakyat membuatkan dua figura UMNO ini dilihat sebagai ancaman.

Tambahan pula, katanya, kejayaan mereka bersama barisan kepimpinan UMNO yang lain memperjuangkan isu pengeluaran KWSP dan moratorium menyebabkan gelombang rakyat terutama orang melayu, kini condong kepada menyokong semula UMNO dan perkembangan ini amat membimbangkan PPBM.

“Keputusan 147 dari 189 Mesyuarat Bahagian UMNO yang jelas menolak kerjasama politik dengan PPBM amat merisaukan mereka.

“Tambahan pula rata-rata kepimpinan di peringkat akar umbi mengusul semua kerusi yang dimenangi UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu akan ditandingi UMNO.

“Malah keputusan mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Januari baru-baru ini turut tidak disenangi oleh Tan Sri Muhyidin Yasin dan kepimpinan PPBM,” katanya.

Tambah beliau, tidak cukup dengan itu, ketegasan Presiden UMNO dalam isu pertukaran kepimpinan pentadbiran Negeri Perak kepada UMNO juga adalah suatu yang sukar diterima oleh mereka.

Perkembangan ini, ujar beliau, menyebabkan hubungan UMNO-PPBM menjadi panas.

Ketegasan Presiden dan barisan kepimpinan UMNO yang selari dengan kehendak akar umbi UMNO dalam isu kerusi untuk PRU15, tegas beliau, membuatkan hubungan UMNO-PPBM kian meruncing.

Justeru di laman media sosial beberapa penulis, kini berlegar berita khabarnya Muhyiddin meminta kluster menteri untuk berunding dan memujuk Presiden untuk mendapatkan 10 hingga15 kerusi UMNO untuk diberikan kepada PPBM, katanya.

“Namun dipercayai usaha ini gagal kerana Presiden bertegas dan senada dengan kehendak akar umbi UMNO,” katanya.

Bemula dari episod ini, beliau berkata, serangan kepada Presiden UMNO semakin ketara.

“Mereka menggunakan ahli dan pemimpin UMNO umpama pepatah musang berbulu ayam untuk menyerang Presiden dan pemimpin UMNO yang pro- Presiden.

“Pelbagai alasan digunakan untuk mendesak Presiden berundur.

“Terkini, desakan ini disuarakan oleh kepimpinan Pemuda UMNO Pontian dan Seremban,” katanya panjang lebar dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mereka tahu bahawa selagi Ahmad Zahid mengetuai UMNO, adalah mustahil untuk mereka menguasai UMNO.

Atas alasan itu juga, kini beberapa sentimen dimainkan untuk mengatur cadangan nama pencabar bagi jawatan Presiden dipemilihan akan datang, jelas beliau.

“Tujuannya adalah untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO dan sebagai persediaan untuk kempen menjatuhkan Presiden untuk digantikan dengan pemimpin pilihan mereka,” katanya.

Tun Dr. Mahathir ketika ditemubual oleh Radio BFM pula menyatakan kesediaan untuk kembali menjalin kerjasama dengan UMNO dengan syarat Ahmad Zahid da Najib Razak berundur dari memimpin UMNO.

“Ianya bagai satu gerakan terancang dan saling berkait antara beberapa pihak berkepentingan.

“Sebelum ini juga sudah timbul ura-ura untuk mengatur cadangan kepimpinan UMNO yang mesra “orang itu”.

“Tujuannya hanya satu iaitu untuk menguasai UMNO dan mencatur UMNO mengikut kehendaknya,” katanya.

Namun kedegilan Ahmad Zahid tidak membubarkan UMNO menyebabkan beliau berhadapan dengan 89 pertuduhan di mahkamah dan rata-rata membacanya sebagai mangsa pendakwaan terpilih dan permainan persepsi jahat, kata Mazalan.

Beliau menambah, umum mengetahui aura UMNO kini melonjak semula.

Sokongan rakyat terutama orang Melayu kini kembali semula kepada UMNO, kata Mazalan.

“Atas sebab itu, UMNO kini digeruni sehingga menjadi keperluan untuk merosakan UMNO dari dalam.

“Dan atas alasan itu juga timbulnya isu sebelum ini, khabarnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ingin melantik Timbalannya (Timbalan Perdana Menteri atau TPM) dari UMNO.

“Dan ura-ura ditawarkan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini bukan sahaja ditolak oleh barisan kepimpinan UMNO tetapi juga akar umbi dan akhirnya isu ini tengelam begitu saja,” kata Mazalan dalam kenyataannya itu.

Kepada pemimpin UMNO yang seperti musang berbulu ayam, Mazalan berkata, sedarlah bahawa topeng kalian telah dikenalpasti melalui gerak geri dan tingkah laku yang dipamerkan.

Ahli dan penyokong UMNO pastinya akan menghukum kalian di medan PRU15, kata beliau lagi.

“Sebelum nasi menjadi bubur, insaflah dan kembali kepada landasan sebenar.

“Tidak ada gunanya memiliki jawatan dengan bersandarkan pada UMNO seandainya kalian menjadi duri dalam daging.

“Bersatulah bersama Presiden dalam mempertahankan dan mengukuhkan UMNO sebagai persediaan untuk bertarung di medan PRU15,” kata Mazalan. – SM

(Visited 262 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button