Berita

Pelihara alam semulajadi untuk masa hadapan – Raja Muda Perlis

Keindahan dan kecantikan alam semulajadi anugerah Tuhan hendaklah sentiasa dihargai dan dipelihara oleh semua.

Usaha mengekalkan keindahan alam amat penting dan perlu diutamakan demi kelangsungan alam buat tatapan generasi masa depan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf Kali Ketujuh bagi tahun 2021’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada semalam.

Tiga buah rumah keluarga asnaf terpilih disinggahi sepanjang sesi kayuhan sejauh 12km pada kali ini bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Baginda diiringi 30 ahli kumpulan berbasikal “TTG Perlis” dianggotai ketua dan wakil agensi kerajaan dan swasta termasuk Mufti, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkesempatan menikmati keindahan persisir terusan tambatan banjir di sekitar kawasan Kuala Perlis.


Terusan yang berada di kawasan bukit batu kapur Kg Wai Kuala Perlis itu menyimpan keindahan dan kecantikan panorama alam yang amat indah dan menakjubkan turut menggamit para pengunjung untuk aktiviti berbasikal, berjalan kaki dan juga ‘trekking’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah menasihatkan supaya sesuai dengan amalan ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’, para pengunjung hendaklah sentiasa memastikan kebersihan di sepanjang kawasan berkenaan yang baginda sifatkan sebagai ‘aset berharga’ bagi negeri ini.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitah ucapkan “Selamat Menduduki Peperiksaan” kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang bermula pada isnin 22 Februari ini.

Ucapan yang sama juga turut diucapkan kepada calon-calon yang sedang membuat persediaan akhir bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2020 bermula pada 8 Mac 2021 yang akan datang nanti.

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button