fbpx
Ekonomi

Peletakan jawatan Jalil, Kadir salahkan Tengku Zafrul

DATUK Kadir Jasin , bekas penasihat media Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bertanggungjawab dalam memecat profesional Melayu.

Kadir dalam tulisan blog peribadi beliau berkata, terbaharu yang menjadi mangsa Tengku Zafrul yang dilabel sebagai ‘kaki pukul’ kerajaan menjadi punca Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE), Jalil Rasheed meletakkan jawatan.

“Lebih malang bagi ahli profesional Melayu, kaki pukul (hatchetman) yang dihantar untuk membelasah mereka adalah teknokrat Melayu sendiri.

“Maaf cakaplah kalau saya kata bahawa dalam konteks ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, perlu menilai dirinya sendiri kerana besar kemungkinan beliau kini menjalankan peranan itu,” kata Kadir.

Tuduhan Kadir itu berasaskan Menteri Kewangan mempunyai kuasa yang amat luas ke atas GLIC dan GLC.

“Siapa lagi kalau bukan beliau yang memecat ahli profesional Melayu dan membawa masuk ahli politik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah?

“Wan Zulkiflee ditunjukkan pintu keluar kerana mempertahankan hak Petronas daripada dijadikan pertaruhan dalam perjudian politik Muhyiddin untuk mendapat sokongan elit politik Sarawak dan mungkin juga selepas ini, Sabah,” kata Kadir.

Hari ini Lembaga Pengarah syarikat pengurus dana terbesar di Malaysia itu mengumumkan bahawa mereka telah menerima peletakan jawatan itu.

Lembaga Pengarah dan Kumpulan Kepimpinan PNB menyampaikan penghargaan mereka kepada Jalil atas kepimpinan dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama PNB.

“PNB mengucapkan selamat maju jaya kepada Jalil dalam semua usaha di masa hadapan. Lembaga Pengarah juga telah meluluskan pelantikan pengganti bagi jawatan berkenaan dan pengumuman akan dibuat setelah menerima kelulusan daripada pihak kawal selia,” kata PNB dalam satu kenyataan.

Jalil mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak syarikat pengurusan dana itu ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Jalil memulakan kerjayanya pada 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada 2010.

Beliau kemudiannya meninggalkan Aberdeen untuk menerajui syarikat Invesco sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Selatan) pada 2013, iaitu jawatan yang disandangnya sebelum menyertai PNB.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain Onn, yang ketika ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, adalah calon pilihan yang dijangka dilantik untuk menerajui pengurusan tertinggi PNB.

Terdapat beberapa calon untuk menggantikan Jalil, tetapi Ahmad Zulqarnain dikatakan calon paling layak berdasarkan pengalamannya.

Ahmad Zulqarnain menyertai Khazanah pada Mei 2014 dan sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan sebagai Ketua Eksekutif Danajamin Nasional Bhd.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Harvard. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button