
Pelbagai usaha perlu dilakukan perkukuh perpaduan antara kaum – Raja Muda Perlis
KUDAT 11 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pelbagai usaha perlu terus dilakukan untuk memperkukuh perpaduan yang telah terjalin antara kaum dalam kalangan pelajar kerana sekolah sering dianggap sebagai asas yang paling tepat dan efektif dalam membentuk perpaduan di kalangan pelajar’.
Baginda bertitah, ‘Pendidikan adalah faktor utama dalam usaha memperkukuh perpaduan. Nilai kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, dan ihsan perlu diterapkan dalam persekitaran pendidikan di sekolah, melibatkan semua kaum di kalangan murid sebagai teras dalam setiap aktiviti sekolah’.
“Usaha mewujudkan perpaduan kaum dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan semua pelajar. Ini bukan sahaja menguatkan perpaduan antara satu sama lain, tetapi juga memperkukuh keharmonian antara rakyat berbilang kaum di negara ini, memastikan perpaduan tetap terjalin dalam segala keadaan”, titah Tuanku Raja Muda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 Peringat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Lok Yuk di Kudat bersempena dengan Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2025 baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMJK Lok Yuk, Chong Siaw Han.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kudat yang melibatkan seramai 725 orang pelajar SMJK Lok Yuk yang terdiri daripada Tingkatan 1 hingga 5.
Sempena program ini juga, SMJK Lok Yuk telah menerima sumbangan RM500 bagi pelajar paling cemerlang peperiksaan SPM dari YTSP Perlis, sumbangan 2 unit LCD Projektor dan 2 unit ‘Air Cooler’ dari Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Kipas Berdiri dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), 2 kotak pakaian sukan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan satu unit ‘LED Display Sign Board’ dari Datuk Indera Dr. Mohd Zaini Ariff.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian pecah tanah bagi pembinaan dewan makan dan koperasi sekolah tersebut.
Baginda menzahirkan agar murid-murid SMJK Lok Yuk agar sentiasa menjaga akhlak diri, maruah ibu bapa dan nama baik sekolah dan berharap sekolah ini akan terus melahirkan masyarakat yang bersatu-padu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan warna kulit.
FOTO