Nasionalpilihan

AK Ramalingan nafi dirinya terlibat penyelewengan dana MITRA

SETIAUSAHA Eksekutif MIC, AK Ramalingam menafikan dirinya menerima sebarang penyaluran dana daripada pihak Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)sehingga kini walaupun kami telah menandatangani perjanjian kontrak atau “Contractual Agreement” pada tahun 2020.

Menurut Ramalingam, pada bulan September lalu, dia telah dipanggil oleh Ketua Pengarah MITRA yang baharu untuk perbincangan semula bagi merealisasikan Malaysia Aquaculture Entrepreneurship Programme (MACEP).

“Saya juga melawat Pusat Penternakan Ikan Jade Perch atau lebih dikenali sebagai “Jade Perch Hatchery” di Johor untuk memastikan program ini dapat dilancarkan pada bulan November depan.

“Saya begitu komited dan serius untuk membantu belia India melalui program ini di mana saya sudah melabur dana saya sendiri untuk menempah anak ikan atau “fingerlings” sebaik sahaja menandatangani kontrak pada Disember tahun lalu.

“Disebabkan saya tidak mahu belia yang akan terlibat dalam program MACEP lewat dalam menerima hasil, maka saya telah melakukan tempahan awal dengan menggunakan dana saya sendiri.

“Justeru itu, saya terpaksa mengalami kerugian disebabkan tiada penyaluran dana daripada pihak MITRA,” katanya.

Ramalingam berkata, dia turut meminta kepada individu yang telah menuduhnya supaya tampil ke hadapan dan membuat laporan polis sekiranya dana daripada MITRA sudah disalur dan disalahgunakan olehnya.

Jelasnya, dia juga berasa terkilan dan dukacita bila dikaitkan dengan penyelewangan dana MITRA yang dipercayai adalah agenda politik pihak tertentu untuk menggugat serta merosakkan inisiatif saya bagi masyarakat India khususnya belia India B40.

“Saya hendak tegaskan di sini bahawa MACEP (Malaysia Aquaculture Entrepreneurship Programme) adalah satu inisiatif yang dirancang secara terperinci khususnya bagi kumpulan belia India B40. Inisiatif ini telah saya lancarkan pada tahun 2020 setelah saya dilantik sebagai Ahli Jemaah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“MACEP merupakan sebuah program latihan keusahawanan dalam bidang penternakan akuakultur yang akan membolehkan peserta memperolehi pengetahuan, kemahiran serta kit permulaan untuk memulakan perusahaan penternakan akuakultur. Program ini memberi tumpuan kepada penternakan ikan “Jade Perch” yang berasal dari Australia kerana mempunyai pasaran yang meluas.

“Objektif utama MACEP adalah untuk menggalak dan memperkenalkan teknologi penternakan akuakultur mengikut arus pemodenan semasa serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada belia India B40.

“MACEP merangkumi fokus latihan terperinci, kaedah penternakan ikan “Jade Perch”, bahan-bahan baja serta makanan ikan untuk tumbesaran, kaedah rawatan air, kaedah penjagaan kualiti pembesaran ikan dan jaminan pembelian semula semua ikan yang diternak oleh peserta-peserta MACEP melalui usahasama serta bantuan LKIM.

“Pada peringkat awal, perbincangan bagi merealisasikan inisiatif ini telah diadakan di pusat latihan kami di Broga, Semenyih bersama Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M.Saravanan; dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran; di mana telah dipersetujui cadangan pihak kami bahawa penyertaan seramai 1,000 orang belia India (B40) yang terdiri daripada 10 orang peserta mewakili 100 kawasan Parlimen di Malaysia untuk MACEP.

“Sehubungan dengan itu, saya bersama Unit Komunikasi Media telah mengeluarkan kenyataan media dan berjaya mengenal pasti lebih daripada 1,000 orang belia India B40 yang ingin menyertai MACEP ini.

“Pihak MITRA juga telah mengadakan lawatan penilaian awal ke pusat latihan kami di Broga sebelum MACEP diluluskan diikuti pihak saya menandatangani perjanjian kontrak di pejabat MITRA pada 3 Disember 2020 dengan kapasiti pelaksanaan bagi hanya 200 orang belia India B40 sebagai permulaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramalingam turut menyeru semua pihak agar jangan terus memfitnah demi kepentingan politik kerana ianya hanya akan merugikan masyarakat India sendiri. -SM

(Visited 841 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button