Politik

Pas ajak UMNO hayati dasar rakan muafakat MN

SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas menuntut penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwaan itu menyumbang kepada majoriti sokongan beralih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membentuk kerajaan baharu seperti mana yang diumumkan oleh beliau pada sidang media, tengah hari, kelmarin (Rabu, 23 September).

Menurut Takiyhuddin, jika benarlah perkara itu (beralih sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO) kepada Anwar, ini bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September tahun lepas (2019).

“Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara ini dan sekali gus, berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah),” kata Takiyuddin.

Sekiranya peralihan itu benar, ia boleh dianggap sebagai satu gerakan yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan PN yang terbina atas permuafakatan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain atas kejatuhan kerajaan 22 bulan (PH), katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Anwar telah mengadakan satu sidang media kelmarin, mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan berapakah jumlah Ahli Parlimen (dalam bentuk angka) yang memberi sokongan kepadanya sebaliknya sekadar berkata, ramai.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson ini juga menegaskan, majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Muhyiddin pula hanya mempunyai lebihan sokongan dua Ahli Parlimen.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti yang mengambil keputusan, menyokong Anwar.

Anwar berhasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong dan hasratnya itu telah mendapat perkenan Baginda tetapi ditunda kerana kesihatan Baginda yang berada di Institut Jantung Negara (IJN).

Takiyuddin berkata, ini kerana UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN.

Sehubungan itu, Takiyuddin menambah, Pas berharap untuk mendapatkan penjelasan daripada Presiden UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN.

Pas juga mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama, katanya. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button