Hiburan

Pelantun lagu Ayam Den Lapeh, Elly Kassim meninggal dunia

ORANG lama yang meminati hiburan dari seberang pasti mengenali penyanyi Elly Kassim yang popular dengan lagu Ayam Den Lapeh. Beliaulah penyanyi asal lagu tersebut sebelum Superstar Anita Sarawak mempopularkan lagu itu di kanvas seni suara Malaysia.

Elly Kassim yang merupakan diva dari seberang berusia 76 tahun dilaporkan meninggal dunia semalam. Demikian menurut rakan seangkatannya.

Perkhabaran mendukacitakan itu mengejutkan rakan-rakan allahyarhamah apatah lagi tiada siapapun yang mengetahui bahawa arwah menghidap penyakit kronik. Difahamkan, allahyarhamah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital MMC Kuningan.

Sementara itu, memetik laporan Insertlive, satu-satunya anak perempuan allahyarhamah, Risallina Mustika memaklumkan, ibunya meninggal dunia kerana komplikasi organ dalaman akibat jangkitan radang usus.

Beliau berkata, pada awalnya, allahyarhamah mengalami GERD, terkena jangkitan pada tahun 2000 namun sakit itu telah sembuh.

Bagaimanapun, kata Risallina, penyakit itu kembali menyerang ibunya sehinggalah ibunya mengalami sakit yang membuatkan seluruh organ tubuh termasuk ginjal dan hati, rosak disebabkan oleh jangkitan radang usus.

“Dua bulan terakhir sebelum pemergian ibu, dia hanya boleh menjamah bubur kerana sakit yang dialaminya semakin parah. Sekitar awal bulan lepas, penyakit ibu semakin kronik dan tahap kesihatannya semakin merosot,” katanya.

Jelas beliau, pada 6 haribulan lalu, ibunya masih boleh menjalankan aktiviti harian namun sekitar waktu Maghrib, badan ibunya menjadi sejuk dan basah seperti disiram air. Ini kerana rasa sakit telah sampai ke ulu hati dan jantung, katanya.

“Pada keesokan harinya, ibu masih boleh berbual tetapi pada 8 haribulan, badan ibu sudah kaku dan mengalami dehidrasi sehinggalah beliau pergi pada pukul 3 pagi semalam selepas dimasukkan ke hospital pada 11 Ogos,” cerita Risallina.

Jenazah allahyarhamah yang juga merupakan seorang pengusaha perniagaan butik perkahwinan, disemadikan di Kompleks Pemakaman Al Azhar di Karawang, Jawa Barat selepas waktu Zohor, semalam.

Kini tiada lagi insan seni bernama Elly Kassim yang pernah mengangkat lagu-lagu Minang dalam muzik arus perdana dan pernah melahirkan lebih 100 album untuk para peminatnya.

Salam takziah daripada kami SUARA MERDEKA buat seluruh keluarga allahyarhamah, moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh allahyarhamah. – SM

(Visited 390 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button