Nasionalpilihan

Pelantikan PM baharu dapat hentikan kemelut politik

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dilihat dapat menghentikan kemelut politik  dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutamanya dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua Ahli Parlimen PN dari BERSATU, PAS dan STAR perlu berdiri teguh bersama Perdana Menteri yang baharu.

“Kita yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan Perikatan Nasional terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segara.

“PN juga menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Hamzah, PN juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqomah.

Jelasnya, semua program bantuan rakyat, pakej rasangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan Muhyiddin merupakan bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. -SM

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button