Nasional

Pilihan tepat Melaka tuan rumah sambutan Hari Malaysia, Festival Filem Malaysia

Melaka diberi penghormatan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia dan Festival Filem Malaysia kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, keputusan memilih Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia bulan depan dan festival filem penghujung tahun ini adalah kerjasama erat antara K-KOMM dan kerajaan negeri.

“Bulan hadapan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan K-KOMM dalam penganjuran besar-besaran sambutan Hari Malaysia 16 September ini.

“Melaka sebagai sebuah negeri yang penuh dengan pelbagai peristiwa bagi penganjuran beberapa acara pastinya dapat melihat rakyat Melaka tersenyum lebar dengan penganjuran Hari Malaysia dan Festival Filem Malaysia.

“Saya percaya kerjasama erat antara K-KOMM serta kerajaan negeri Melaka memungkinkan kita untuk mengatur banyak lagi rancangan-rancangan lain,” katanya berucap pada majlis pelancaran Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: Riuh Nau! di Dataran Pahlawan. Bandar Hilir, Melaka malam tadi.

Majlis perasmian edisi ketiga itu telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang turut dihadiri Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sebelum ini pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putrajaya, baru-baru ini.

Kembara Riuh Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: Riuh Nau! yang bermula semalam sehingga Ahad ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari acara berlangsung.

Melaka adalah destinasi ketiga selepas Kelantan dan Sabah, penganjuran program oleh MyCreative, sebuah agensi di bawah K-KOMM. – SM

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button