PolitikRencana

Ismail Sabri perlu jaringkan gol, bukan heret permainan ke masa kecederaan

RAMAI orang gemar menangguk di air yang keruh. Ketika negara berdepan situasi getir pandemik Covid-19 pelbagai usaha dilakukan bagi menjatuhkan kerajaan.

Ada kerana motifnya mahukan jawatan nombor satu negara. Ada yang mahukan supaya dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah. Ada yang melompat ke sana dan ke sini untuk bikin duit.

Dalam kekalutan itu kita bernasib baik kerana mempunyai pemimpin berjiwa besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sanggup melepaskan jawatan nombor satu negara, walaupun hakikatnya beliau tidak melakukan apa kesilapan yang fatal.

Muhyiddin juga didokong oleh sekumpulan ahli politik yang meletakkan kepentingan negara di hadapan berbanding kepentingan peribadi.

Kombinasi itu akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinobatkan sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin ketika kekalutan politik berada di kemuncak dan kegawatan ekonomi berada pada titik getir serta krisis pandemik yang meruncing.

Ibaratnya Ismail Sabri dinobat ketika musibah dan tanjak di atas kepala beliau adalah bertatahkan api.

Keputusan itu lebih kepada untuk meredakan ketegangan politik yang berlaku, bukan sahaja dicetus oleh pihak pembangkang, bahkan di dalam UMNO sendiri di mana Ismail Sabri ialah naib presidennya.

Saya bukan fan kepada Ismail Sabri ataupun Muhyiddin.

Bagaimanapun saya angkat topi dengan keputusan dibuat oleh Muhyiddin ketika menyelamatkan negara daripada Pakatan Harapan yang pasti menghancurkan negara ini dan ketika beliau meletakkan jawatan dan sekali lagi demi keharmonian negara.

Berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan meletakkan jawatan sehinggalah Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya lalu dan menyebabkan kesengsaraan rakyat sehingga hari ini, Muhyiddin lebih berpijak pada bumi yang nyata dan dengan rela meletakkan jawatan walaupun cuba dipujuk oleh orang sekelilingnya.

Bagi Ismail Sabri langkah beliau sangat terhad tetapi ia bakal menentukan masa depan negara dan masa depan karier politik beliau sendiri.

Dalam satu diskusi saya dengan beberapa orang penganalisis dan pemerhati politik kami majoriti lebih memilih Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk diangkat sebagai perdana menteri jika Muhyiddin meletakkan jawatan.

Alasannya mudah sahaja, keterampilan beliau dan aura beliau telah terbukti mudah dibawa arakian ke persada antarabangsa.

Namun ada satu pandangan bahawa Ismail Sabri paling sesuai kerana beliau berada di dalam ranking parti iaitu UMNO, selain lebih akrab dengan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib.

Hari ini saya akui pandangan yang satu itu adalah tepat berbanding pandangan majoriti kumpulan kami. Ismail Sabri berjaya membawa keharmonian politik setakat ini.

Beliau tidak harus memikirkan terlalu jauh di dalam politik masa kini, cukup seminggu ke hadapan dan seminggu ke belakang.

Seminggu ke hadapan beliau perlu berdepan dengan para ahli parlimen di Dewan Rakyat dan sokongan mereka ada perkara utama untuk memastikan kerajaan beliau terus bertahan.

Pembangkang akan mencari helah untuk menjalankan undian untuk sekecil-kecil perkara hinggalah ke isu yang besar.

Walaupun tanpa undi percaya, pemilihan timbalan speaker tetap perlu diundi dan jika calon kerajaan kalah itu telah membuktikan kerajaan hari ini tidak mendapat sokongan majoriti.

Belum lagi dibawa kepada undi bagi meluluskan Rancangan Malaysia ke-12 iaitu perancangan lima tahun pembangunan negara. Tidak lama selepas itu kerajaan perlu membentangkan belanjawan dan jika tidak diluluskan bermakna kakitangan awam tidak bergaji.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh Ismail Sabri pada masa ini ialah dengan melantik Najib sebagai penasihat ekonomi dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat Pelan Pemulihan Negara.

Dua keputusan itu kritikal bagi mendapatkan sokongan padu di dalam UMNO dan di blok pembangkang.

Selepas itu biarlah rakyat yang akan menilai apakah kedua-dua pemimpin itu masih layak diberi undi pada pilihan raya akan datang berdasarkan prestasi semasa mereka.

Mereka harus membuktikan bahawa bukan hanya hebat di media sosial, tetapi juga hebat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Setelah sedikit keseimbangan itu dicapai dan pandemik semakin berkurangan, wajib bagi Ismail Sabri menekan butang reset. Iaitu membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Janganlah beliau pula bercita-cita panjang untuk menjadi perdana menteri untuk tempoh lebih panjang.

Negara telah lama terperangkap dalam kitaran politik yang tidak ke mana. Kita ibarat berlari di tempat yang sama dan akhirnya semua khudrat yang ada dihabiskan dengan sia-sia.

Ismail Sabri harus sedar bahawa beliau diletakkan diposisi itu sebagai pemain gantian untuk mengubah rentak permainan dan dengan segera perlu menjaringkan gol dan bukan mengheret permainan ke masa kecederaan serta masa tambahan dan seterusnya kepada penentuan sepak penalti.

 

 

 

 

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button