
Pelantikan Felo Elite UM: Satu Lagi Pencapaian Dato’ Sri Dr Irmohizam
KUALA LUMPUR, 16 Jun 2025 – Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), YBhg. Dato’ Sri Dr Haji Irmohizam bin Ibrahim, telah dilantik sebagai Felo Elite Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) – satu pengiktirafan tinggi terhadap sumbangan beliau dalam bidang ekonomi acara dan jaringan global.
Pelantikan ini lebih bermakna apabila beliau merupakan alumni fakulti berprestij tersebut dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Awam, sekaligus membuktikan pengiktirafan terhadap kejayaan profesional anak tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam peranan baharunya sebagai Felo Elite, Dato’ Sri Dr Irmohizam dijangka akan menyumbang kepakaran dan pengalaman beliau dalam memperkasa pemahaman generasi muda tentang konsep ‘travelers economy’, kepentingan industri Acara Perniagaan (Business Events), dan potensi rangkaian global sebagai pemacu pembangunan negara.
Menurut kenyataan WTCKL, pelantikan ini turut membuka ruang kepada Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM untuk mendapatkan input strategik daripada tokoh industri, selain menggalakkan kolaborasi akademik-industri yang lebih erat.
“Pelantikan ini mengiktiraf industri acara perniagaan sebagai antara pemacu ekonomi baharu Malaysia, seiring hasrat negara untuk menjadikan sektor ini sebagai tonggak penting menjelang pembentangan **Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” kata kenyataan itu.
Dato’ Sri Dr Irmohizam yang juga aktif dalam World Trade Centers Association (WTCA)—jaringan global yang merangkumi 345 Pusat Dagangan Dunia di lebih 90 negara—bertekad untuk mengetengahkan potensi Malaysia sebagai hab acara dan pelaburan serantau.
WTCKL dalam kenyataan turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan berharap sumbangan beliau akan terus memacu kejayaan industri serta memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas ekonomi global.