Nasional

PPV industri untuk sektor pengangkutan udara dibuka di KLIA

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah meneruskan Program Pemberian Vaksin (PPV) bagi sektor pengangkutan dengan pelancaran pembukaan Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), khas untuk Sektor Pengangkutan Udara.

Menteri MOT, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, melalui program ini, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, Malindo, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat-syarikat penerbangan asing yang diwakili oleh Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM).

“Program vaksinasi ini dilaksanakan bermula 5 Julai sehingga 24 September 2021 di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dari jam 8 pagi sehingga 6 petang pada hari Isnin-Jumaat.

“PPVINKLIA ini dibuka bertujuan mempermudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi seramai lebih kurang 22,243 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA,” katanya dalam Facebook.

Beliau berkata, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Di samping itu, katanya lagi, MOT bersama  CITF sedang menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi/ e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan Kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut.

“MOT komited dan akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), terutama dalam memastikan para petugas industri pengangkutan menerima vaksin secepat mungkin,” kata beliau. – SM

 

(Visited 249 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button